Puad Zarkashi harus terima hakikat, kata Zahid

TPM Zahid Hamidi berkata beliau tidak dapat menghalang jika ketua pengarah Jasa itu mahu bertanding atas tiket bebas.

KUCHING: Keputusan tidak meletakkan Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi sebagai calon Barisan Nasional (BN) di Batu Pahat pada pilihan raya umum ke-14 (PRU-14) adalah berdasarkan kepada hasil penilaian landskap politik di seluruh negara, termasuk di kawasan Parlimen berkenaan.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata ketua Umno Bahagian Batu Pahat itu harus menerima hakikat kawasan itu berada dalam keadaan agak parah dari segi kerosakan dan hakisan sokongan kepada BN.

Beliau berkata dengan meletakkan calon lain untuk bertanding di kawasan Parlimen itu, BN berharap mereka akan dapat merampas semula kawasan berkenaan dari tangan PKR.

“..tapi kalau ada kawasan PDM (bilik gerakan pusat daerah mengundi) buat sementara ditutup sebab protes dan beliau sendiri akan bertanding atas tiket apa sekalipun, itu hak beliau,” katanya dalam satu persidangan media di penghujung lawatan kerjanya ke Sarawak.

..tapi (kalau itu berlaku) beliau tidak menunjukkan semangat kepartian yang tinggi walaupun dia salah seorang ahli Majlis Tertinggi Umno dan ketua pengarah Jasa. Negara ini adalah negara demokrasi, terserah kepada beliau,” tambahnya.

Beliau berkata demikian semasa diminta mengulas spekulasi mengenai kemungkinan Puad akan bertanding sebagai calon bebas pada PRU14 ini selepas namanya tidak tersenarai sebagai calon BN yang akan bertanding di Johor.

Zahid berkata beliau sendiri pernah menerima tekanan lebih hebat sebelum ini, namun menurutnya sebagai “orang parti” semangat kepartian harus mengatasi kepentingan lain.

“Kalau saya dalam kedudukan beliau (Puad), saya tidak akan keluar parti, apa lagi bertanding sebagai calon bebas,” katanya.

Menurutnya, Puad sebelum ini pernah bertanding bagi kerusi Parlimen Batu Pahat pada 2013, namun nasib tidak menyebelahinya, dan Puad juga pernah dilantik sebagai senator dan diberi peranan sebagai timbalan menteri pendidikan sebelum ini.

Merujuk kepada persiapan PRU di Sarawak, Zahid berkata BN perlu berfikiran positif dalam usahanya memenangi kawasan pilihan raya, dan walaupun ketika ini BN negeri menghadapi sedikit masalah dalaman, namun menurutnya ia adalah perkara biasa yang berlaku dalam mana-mana pilihan raya.

Klik sini untuk perkembangan sepanjang musim PRU14

Khaled tanding 2 kerusi, Puad Zarkashi tidak dicalonkan