Nik Omar nafi tak pulang rumah sejak jadi calon PH

Nik Omar Nik Abdul Aziz mengundang kritikan pimpinan PAS kerana dituduh meninggalkan perjuangan ayahnya.

KETEREH: Anak arwah Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Nik Omar, hari ini menepis dakwaan beliau menjauhkan diri dari keluarganya sejak muncul pada hari penamaan calon Sabtu lepas sebagai wakil Pakatan Harapan di kerusi negeri Chempaka, Kelantan.

Ia susulan beberapa tuduhan penyokong PAS yang Nik Omar, yang juga abang kepada Nik Mohamad Abduh yang menjadi calon PAS di kerusi Parlimen Bachok, tidak pulang ke rumah menemui ibunya untuk mendapatkan restu bertanding dalam pilihan raya 9 Mei ini.

“Kalau nak cari hujah biar nampak kukuh sikit,” katanya dalam kenyataan ditujukan kepada pengkritiknya, ketika ditanya pemberita selepas ceramah di Ketereh.

“Malam ini, ambo (saya) balik, esok ada perhimpunan dengan pelajar ambo di Sekolah Darul Anuar. Ambo ada berjumpa dengan guru 8.30 pagi esok, boleh pegi tengok,” katanya.

Nik Omar sebelum ini menjadi sasaran beberapa pemimpin PAS, termasuk presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang, yang membangkitkan kisah Nabi Nuh dan anaknya yang tidak mengikut agama bapanya.

“Sepatutnya anak-anak pemimpin PAS tidak bersama bahtera Pakatan Harapan (PH) yang menjadi nakhodanya Tun Mahathir dan pembantunya yang menebuk bahtera Barisan Nasional (BN) sehingga menjadi bocor dimasuki air dan juga sangat membahayakannya. Maka PAS tidak bersama BN dan tidak juga PH,” tulis Hadi dalam “surat terbuka” ditujukan kepada “anak-anak pemimpin yang meninggalkan perjuangan ayah”.

Dalam jawapannya hari ini, Nik Omar berkias sambil memberi nasihat kepada adiknya Nik Abduh, yang juga calon PAS Bachok.

Ketika ditanya hubungannya dengan Nik Abduh, Nik Omar berkata seorang adik sepatutnya tahu cara menghormati abang.

“Kalau adik beradik ada 10 orang, anak kelima pergi jumpa bonda, ambo (saya) anak kedua pegi jumpa juga dengan bonda. Seorang abang, dia wajib sayang kepada adik dia walaupun adik dia buat masalah.

“Sepatutnya, Islam ajar, seseorang adik mesti tahu cara hormat kepada seorang abang,” katanya.