
Bercakap kepada FMT di rumahnya, bekas menteri kerajaan negeri itu berkata, beliau dan Anifah mempunyai hubungan yang baik dan saling menghormati.
“Ketika berjumpa di pusat penamaan calon minggu lepas, saya beritahu beliau ‘mari kita bersaing secara budiman’ dan saya beri jaminan kepadanya saya tidak menyimpan dendam tiada perasan terhadapnya atau sesiapa pun dalam BN,” katanya.
Karim ialah ketua Umno Kimanis sebelum Anifah dan juga adun Bongawan di bawah Parlimen Kimanis. Beliau menyandang kerusi itu selama 5 penggal sejak 1990, tetapi beliau digugurkan pada pilihan raya umum 2013.
Karim berkata, ada orang tertentu dalam BN Sabah yang merancang penyingkirannya daripada parti itu sejak 2004, apabila beliau hampir kehilangan kerusinya dalam pertandingan satu lawan satu dengan seorang calon bebas. Beliau memenangi kerusi itu dengan majoriti 805 undi.
Bagaimanapun, pada pilihan raya berikut pada 2008, beliau memenangi kerusi sama dengan kelebihan 5,730 undi, lebih besar daripada majoriti diperolehi Anifah bagi kerusi Parlimen Kimanis sebanyak 5,453 undi.
Apabila digugurkan sebagai calon pada 2013, Karim berkata, rayuannya ditolak Pengerusi BN Sabah, Tan Sri Musa Aman.
Beliau kemudiannya meninggalkan bidang politik sebelum menyertai parti pembangkang, Parti Warisan Sabah dan dipilih sebagai calon Kimanis, kerusi Parlimen pertama yang ditandinginya.
“Secara jujur, saya tidak berniat menjadi calon. Tetapi, ramai orang terutamanya di Bongawan, mereka yang pernah membantu saya menang di situ, meminta saya kembali aktif. Bagaimana saya boleh menolak permintaan mereka yang memerlukan saya?” soalnya.
Dengan sokongan seperti itu, Karim yakin dengan peluangnya untuk menang kerana beliau percaya penduduk kurang senang dengan Anifah yang “gagal memenuhi harapan rakyat”.
“Saya diberitahu beliau (Anifah) terlalu memilih dalam memberi khidmat kepada rakyat dan sukar didekati serta sangat tidak mesra.
“Rakyat mahu saya bertanding kerana mereka percaya saya boleh memberi lebih banyak sumbangan dan saya mahu memenuhi harapan itu. Saya rasa peluang itu cerah.”
Kerusi Parlimen Kimanis menyaksikan pertandingan 3 penjuru antara calon BN, Anifah dan Karim sebagai calon Warisan serta Jaafar Ismail yang mewakili Parti Harapan Rakyat Sabah.
Klik sini untuk perkembangan sepanjang musim PRU14