Parti mana benarkan ahli maki hamun parti sendiri, soal Hishammuddin

Parti mana benarkan ahli maki hamun parti sendiri, soal Hishammuddin

Menteri pertahanan itu berkata, jika tindakan tidak diambil, ia akan menjejaskan parti komponen BN dan ahli lain dari segi moral yang hendak menangkan calon BN.

Free Malaysia Today
Hishammuddin berkata, beliau akan meminta Umno memecat veteran yang terbabit dalam kempen pembangkang, jika parti tidak mengambil tindakan terhadap mereka.
SEGAMAT:
Tindakan menggugurkan keahlian 2 veteran Umno yang terlibat dengan kempen pembangkang adalah wajar, kata Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Setiausaha agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor hari ini mengumumkan pengguguran 2 veteran itu, iaitu bekas menteri Tan Sri Rafidah Aziz dan Tun Daim Zainuddin, susulan tindakan mereka menyokong pembangkang selain menghentam parti berkuatkuasa semalam.

Sementara itu, Tengku Adnan berkata, seorang lagi veteran Umno, Tan Sri Rais Yatim masih disiasat berhubung isu sama, sebelum tindakan seterusnya diambil.

“Parti mana yang akan membenarkan ahli-ahlinya berada di atas pentas pembangkang dan memaki hamun partinya sendiri,” kata Hishammuddin pada Majlis Ramah Mesra Felda Chemplak Barat di Labis, dekat sini, hari ini.

Mengulas lanjut Hishammuddin yang juga menteri pertahanan berkata, kalau tindakan itu tidak diambil, beliau sendiri akan meminta mereka dipecat.

“Tindakan seperti ini akan diambil oleh mana-mana parti pun dan jangan hipokrit jika hendak menuding jari kepada kita, tetapi tindakan dan hujah-hujah mereka (veteran itu) memang jelas tidak lagi bersama dengan kita,” katanya.

Beliau berkata, jika tindakan tidak diambil, ia akan menjejaskan parti komponen Barisan Nasional (BN) dan ahli lain dari segi moral yang hendak menangkan calon BN.

Dalam perkembangan lain, Hishammuddin yang juga penyandang kerusi Parlimen Sembrong mengingatkan jentera dan warga BN di Parlimen Labis mengenai perjuangan parti dan BN yang merentasi warna kulit dan agama.

“Perjuangan dan berkempen perlu dilakukan dalam cara yang membina, jauh lebih baik berbanding cara menanam kebencian, perpecahan dan kekecohan,” katanya.

Beliau turut menasihati penyokong BN beberapa hari sebelum hari mengundi agar tidak terikut-ikut rentak parti pembangkang.

Mengulas strategi politik pembangkang, Hishammuddin berkata, mereka sentiasa mencipta isu baharu apabila isu lama dapat diselesaikan.

“Saya lihat tiap-tiap isu diselesaikan oleh BN, pembangkang akan bertindak mengalih tiang gol dan sentiasa hendak menimbulkan isu lain untuk mengabui mata rakyat,” katanya.

Klik sini untuk perkembangan sepanjang musim PRU14

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.