Umno pecat Daim, Rafidah dan Rais, kata Ku Nan

Umno pecat Daim, Rafidah dan Rais, kata Ku Nan

Tengku Adnan berkata, surat pemecatan keahlian itu dihantar semalam.

Free Malaysia Today
Tengku Adnan bergambar dengan anggota polis selepas meninjau proses pengundian awal di Ibu Pejabat Polis Putrajaya, hari ini.
PETALING JAYA:
Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor mengesahkan parti itu memecat 3 pemimpin veterannya, Tun Daim Zainuddin, Tan Sri Rafidah Aziz dan Tan Sri Rais Yatim berkuatkuasa semalam.

Tengku Adnan yang lebih dikenali sebagai Ku Nan berkata, surat itu dihantar kepada 3 bekas menteri Kabinet itu mengikut perlembagaan parti.

“Semalam, surat-surat telah disediakan, saya telah tandatangani dan hantar pada mereka. Dan mereka sendiri tahu dan mereka barangkali hendak kita gugurkan mereka sebagai ahli.

“Kena ingat, tanpa Umno dan BN, mereka dan negara tidak akan jadi macam apa hari ini…jangan jadi seperti kacang lupakan kulit,” katanya selepas memantau proses pengundian awal di Ibu Pejabat Polis Putrajaya, hari ini.

Ku Nan sedih melihat tindakan 3 pemimpin itu menyokong pembangkang dan menghentam kerajaan BN.

“Ketika mereka bersama kami, kami semua menyokong mereka…bukan mereka dulu tidak ada masalah, mereka semua dulu ada masalah. Oleh kerana konsep wala’ taat kepada kepimpinan, kita ikut arahan pemimpin serta kita tabayyun.

“Mereka dahulu bersama kami, hari ini kita perbetulkanlah kerana kita dalam satu jemaah, Kini mereka keluar daripada jemaah dan menuding jari. Ini tidak patut dan tidak adil.”

Daim dan Rafidah menyokong Pakatan Harapan (PH) dengan menghadiri ceramah anjuran gabungan 4 parti pembangkang itu, manakala Rais pula membidas Umno dan Suruhanjaya Pilihan Raya secara terbuka kerana membuang gambar Tun Dr Mahathir Mohamad daripada papan iklan pembangkang.

Rafidah turut menyeru rakyat menolak BN dan memberi mandat mentadbir negara kepada PH.

“Bila dia (Rafidah) di atas pentas pembangkang, secara automatik saya minta surat dihantar kepada beliau  dan digugurkan sebagai anggota Umno, termasuk Tun Daim dan Rais Yatim, ” kata calon BN di Parlimen Putrajaya itu.

Umno: Rafidah, Rais dan Daim boleh dibuang parti

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.