
“Saya jangka pilihan raya ini tidak mengejutkan, dengan Najib bakal menang besar,” kata Edwin Gutierrez, ketua syarikat pembiayaan dana untuk pasaran baru, Aberdeen Standard Investments berpangkalan di London, yang menyelia dana berjumlah RM3.07355 trilion di seluruh dunia. “Kebanyakan orang dalam industri ini berpendapat demikian.”
Tetapi di lapangan, terdapat banyak ketidakpastian di Asia Tenggara. Penganalisis dan ahli politik pemerintah dan pembangkang menjangkakan pertarungan sengit pada 9 Mei ini, dengan gabungan parti politik pimpinan Najib yang memerintah selama 61 tahun berusaha melanjutkan tempoh pentadbiran mereka.
Bulan lepas, Najib meramalkan gabungan pemerintah bakal meraih kemenangan lebih besar berbanding 5 tahun lepas apabila Barisan Nasional (BN) memenangi 133 kawasan pilihan raya, lebih kurang 59% kerusi Parlimen dan mencatat prestasi paling buruk dalam sejarahnya. Kegagalan BN menunjukkan prestasi lebih baik kali ini mungkin meningkatkan tekanan dalam parti supaya Najib melepaskan jawatannya.
Kali ini beliau berdepan gabungan pembangkang terdiri daripada 4 parti komponen dn diketuai Tun Dr Mahathir Mohamad, perdana menteri Malaysia paling lama berkhidmat dan bertindak keluar dari parti pemerintah itu. Walaupun Dr Mahathir menunjukkan kebolehan menarik undi orang Melayu, parti komponen yang pelbagai dalam gabungannya kelihatan sukar untuk mengetengahkan mesej yang sekata kepada pengundi.

Pertarungan sengit
Baru-baru ini, tindakan pentadbiran Najib mencetuskan sedikit rasa tidak senang. Bulan lepas, pihak berkuasa memperkenalkan undang-undang yang akan mengenakan hukuman penjara ke atas mereka yang menyebarkan berita palsu, yang dikritik hebat sebagai percubaan menyekat suara bantahan.
Parti Dr Mahathir dilarang daripada berkempen buat sementara waktu dan kerajaan meluluskan cadangan persempadanan semula kawasan pilihan raya. Ahli Parlimen pembangkang mengatakan ia memberi faedah kepada parti pemerintah.
“Jika BN gagal meraih margin besar berbanding 133 kerusi sebelum ini, ramai dari dalam dan luar parti akan mempersoal sama ada Najib sesuai memegang jawatannya,” kata Asrul Hadi Abdullah Sani, penganalisis daripada syarikat juruperunding, BowerGroupAsia di Kuala Lumpur.
Tinjauan menunjukkan kemenangan mungkin bergantung kepada 2 negeri Borneo yang mewakili 25% kerusi di Parlimen walaupun hanya mencatat 20% daripada jumlah penduduk Malaysia. Ketaksamaan tersebut menjelaskan mengapa pada 2013, pembangkang memenangi undi popular buat pertama kali, tetapi kalah pada pilihan raya.
‘Momentum’
Di Semenanjung, Pakatan Harapan (PH) diramalkan memenangi 43.7% undi popular berbanding dengan 40.3% bagi BN, menurut tinjauan terbaru Merdeka Center.
Bagaimanapun, gabungan pemerintah dijangka menang kerana sokongan Melayu dan pertarungan banyak penjuru, menurut kajian itu berdasarkan tinjauan yang diadakan pada 28 April sehingga 1 Mei.
“Kami sememangnya mempunyai momentum dari segi jentera, persediaan dan penyatuan, tetapi kami tidak harus ambil mudah perkara ini,” kata Zaidel Baharuddin, setiausaha eksekutif Pemuda BN.
“Tiada apa yang pasti. Pengundi boleh berubah fikiran dalam masa 48 jam.”
Di tengah-tengah kontroversi skandal korupsi dan harga minyak yang merosot, Najib mengharapkan peningkatan ekonomi dan pembangkang yang berpecah bagi mencerahkan lagi peluang BN pada pilihan raya ini. Ekonomi negara yang bernilai RM1.170 trilion itu paling pesat berkembang dalam 3 tahun kebelakangan ini sejak 2017, yang menyaksikan pelaburan asing mencurah masuk dan pemulihan harga minyak menjanjikan peningkatan pendapatan negara daripada eksport tenaga.
Kemarahan pengundi
Kemarahan pengundi berhubung kos sara hidup semakin tinggi menjadi isu utama dalam kempen kali ini. Kerajaan mengambil langkah menangani isu itu dengan pemberian tunai, pengurangan cukai dan peruntukan rumah mampu milik.
Gabungan pembangkang sudah mengetengahkan isu pendapatan selain isu skandal pengubahan wang haram yang melibatkan 1MDB, yang dikaitkan dengan Najib. Tetapi beliau menafikan sebarang salah laku.
“Pilihan raya kali ini adalah tentang kos sara hidup bagi orang awam,” kata ahli politik pembangkang, Rafizi Ramli yang mengetuai badan kajian berasingan bagi meninjau sentimen pengundi.
“Sangat sukar untuk meramal bagaimana sentimen itu akan diterjemah sebagai undian melainkan anda mempunyai akses langsung untuk menilai apa yang dirasakan orang awam.”
Pilihan raya kali ini mungkin ditentukan oleh undi peneroka Felda yang merupakan majoriti di 54 daripada 222 kawasan Parlimen. Sentimen dalam kalangan mereka semakin pudar selepas Felda dipalit beberapa skandal kewangan, lalu memaksa gabungan pemerintah mengumumkan pemberian wang dan menggantikan geran tanam semula bagi mengekalkan sokongan mereka.
Pengundi Melayu dari golongan muda juga antara penentu dengan isu pengangguran yang semakin meningkat. Kedua-dua Najib dan Mahathir bersaing untuk memenangi hati pengundi Melayu yang menjadi majoriti (60%) pengundi berdaftar.
Lisa J Ariffin, pelajar Melayu berusia 28 tahun, berkata, buat pertama kali, ibunya yang berusia 75 tahun tidak akan mengundi BN. Beliau bagaimanapun masih belum menentukan keputusannya.
“Saya berpendapat kepimpinan sekarang tidak baik dan sudah tiba masa untuk berubah,” katanya. “Tetapi pada waktu yang sama, saya tidak yakin dengan pembangkang.”
Klik sini untuk perkembangan sepanjang musim PRU14.