Dr M ikrar hapus GST, kaji pelaburan China

Dr M ikrar hapus GST, kaji pelaburan China

Dr Mahathir berkata, PH perlu mengkaji semua perkara yang dilakukan kerajaan terdahulu, dalam aspek perdagangan dan pelaburan Malaysia dengan China, sebelum membuat sebarang keputusan.

Free Malaysia Today
Dr Mahathir berkata, SST akan dikembalikan semula untuk menggantikan GST. (Gambar Reuters)
KUALA LUMPUR:
Pakatan Harapan (PH) akan menunaikan janjinya untuk menghapuskan cukai barang dan perkhidmatan (GST) selepas membentuk kerajaan persekutuan.

Pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, cukai jualan dan perkhidmatan (SST) akan dikembalikan semula untuk menggantikan GST.

“Tidak ada pengunduran (GST), ia adalah pembatalan, kita tidak memerlukannya, kita kembali kepada cukai jualan,” katanya pada sidang media hari ini.

GST sebanyak 6% diperkenalkan pada 1 April 2015 untuk menggantikan SST.

PH dalam usaha mereka ke Putrajaya menyatakan cukai itu menyebabkan kos sara hidup di Malaysia meningkat.

Mengenai perdagangan dan pelaburan Malaysia dengan China, Dr Mahathir berkata, mereka perlu mengkaji semua perkara yang dilakukan kerajaan terdahulu sebelum membuat sebarang keputusan.

“Seperti yang anda ketahui, China mempunyai pengalaman yang lama dalam menangani perjanjian tidak adil dan China menyelesaikannya dengan rundingan semula, jadi kita rasa kita berhak mengkaji semula dan jika perlu, kita akan merundingkan semula terma-terma terbabit.

“Apa yang membimbangkan kita adalah jumlah wang yang dipinjam kerajaan (BN) sebanyak RM55 bilion hanya untuk Laluan Keretapi Pantai Timur dan banyak pinjaman lain yang akan membebankan negara,” katanya.

Menurutnya, kerajaan yang bertanggungjawab harus cuba mengurangkan jumlah pinjaman, kalau tidak negara akan berada dalam keadaan tidak baik.

Menyentuh inisiatif Jalur dan Jalan (BRI), Dr Mahathir berkata, gabungan itu tiada masalah dengannya, kecuali Malaysia tidak suka melihat terlalu banyak kapal perang di rantau ini.

BRI – idea pembangunan mega yang dicadangkan China pada 2013 ialah rangkaian infrastruktur pelbagai dimensi merangkumi laluan pengangkutan darat, laut dan udara serta disokong projek jalan kereta api, pelabuhan dan saluran gas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.