
KUALA LUMPUR:Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Tun Dr Mahathir Mohamad berkata kekeliruan mengenai penangguhan majlis angkat sumpah jawatan di hadapan Yang Di-Pertuan Agung pagi tadi telah diatasi.
Ahli Parlimen Langkawi itu berkata, punca utama kekeliruan ialah 4 parti komponen PH bukan sebuah gabungan rasmi, dan bertanding di bawah logo PKR dalam pilihan raya umum ke-14 semalam.
“Akibatnya tidak ada satu parti mempunyai majoriti diperlukan bagi membentuk kerajaan baru. Tetapi kami berpegang dengan ketetapan undang-undang yang menyebut perdana menteri hendaklah mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen di Dewan Rakyat.
“Tidak disebut parti, hanya individu Ahli Parlimen,” katanya kepada media bersama-sama pemimpin PH, termasuk presiden PKR, Datin Seri Wan Azizah Ismail; setiausaha agung DAP, Lim Guan Eng; presiden Amanah, Mohamad Sabu dan presiden PPBM Tan Sri MUhyiddin Yassin.
Beliau berkata, dengan 104 kerusi dimenangi oleh PKR, DAP 9 di Sabah dan Sarawak dan Parti warisan Sabah 8 kerusi, beliau mempunyai mandat untuk menjadi perdana menteri.
“Ada kelengahan kerana kurang faham peruntukan perlembagaan.
“Tetapi sekarang tidak ada kerajaan. Peranan kerajaan sementara telah berakhir malam semalam. Jadi kami menegaskan kerajaan baru mesti dilantik serta-merta,” kata beliau.
Mahathir berkata, kesemua 4 presiden parti telah menulis surat kepada YDP Agung mengesahkan beliau sebagai calon perdana menteri.
“Jadi sekarang terserah kepada YDP Agung melantik saya sebagai perdana menteri berdasarkan sokongan daripada Ahli Parlimen.”