
Bercakap kepada FMT, beliau berkata kerajaan PH tidak akan menggunakan organisasi tersebut untuk menyiarkan propaganda parti.
Dalam memperjuangkan agenda kebebasan media, PH akan memastikan wujudnya “pemisahan jelas antara organisasi propaganda parti dengan media arus perdana,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan juga akan menimbangkan untuk membenarkan lebih banyak saluran TV.
Amanah katanya, akan menjelaskan kontroversi mengenai undang-undang syariah yang menghendaki seseorang memiliki kelayakan yang diiktiraf sebelum boleh menyampaikan ajaran Islam.
Pada tahun lepas, Khalid, yang kini memulakan penggal ketiganya sebagai Ahli Parlimen Shah Alam, didapati salah oleh mahkamah syariah kerana mengajar Islam tanpa tauliah.
Beliau didenda RM2,900 yang secara automatik membatalkan kedudukannya sebagai Ahli Parlimen. Berikutan rayuan yang difailkan denda itu dikurangkan kepada di bawah RM2,000, nilai ambang bagi pembatalan kelayakan.
Khalid mengakui kerumitan yang bakal dihadapi PH dalam menangani isu tersebut, selain berkata undang-undang syariah digubal oleh kerajaan negeri, bukan kerajaan pusat.
“Sebagai sebahagian daripada kerajaan pusat, Amanah mahu melihat bagaimana untuk memulakan usaha mengadakan siaran TV yang menampilkan bukan sahaja ustaz, tetapi profesional daripada pelbagai bidang seperti jurutera dan peguam bercakap tentang agama.”
Kata beliau, ideanya ialah untuk menyemai budaya yang menyokong kebebasan orang Islam berbincang dan membahaskan isu-isu agama.
“Tentu, jika anda mahu mengajar Islam, anda perlu ada kelayakan, tetapi bercakap tentang Islam juga adalah kewajipan orang Islam,” katanya.