Adun Upko dakwa berdepan tekanan untuk sokong Warisan

Ewon Benedick (duduk, 3 dari kanan) ketika berada di rumah Shafie Apdal.

KOTA KINABALU: Adun Kadamaian, Ewon Benedick mendakwa beliau berdepan tekanan dan ancaman keselamatan apabila mengambil keputusan meninggalkan Barisan Nasional (BN) untuk bersama Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (Upko) menyertai Parti Warisan Sabah (Warisan) dan Pakatan Harapan (PH) menubuhkan kerajaan negeri.

Beliau dalam kenyataan di Facebooknya berkata, beliau bersama beberapa adun Upko dalam keadaan tertekan ketika bersama BN di bawah pimpinan Tan Sri Musa Aman.

Katanya, tekanan bertambah apabila video Pemangku Presiden Upko, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau menemui Presiden Warisan, Datuk Seri Shafie Apdal tersebar di media sosial 10 Mei lalu.

“Saya dimaklumkan satu mesyuarat khas Majlis Tertinggi Upko akan diadakan pagi itu (Khamis) juga. Saya ingin mengambil bahagian, tetapi keadaan sangat tidak kondusif untuk saya meninggalkan Sri Gaya dan kira-kira 2 petang hari sama, saya bersama adun BN lain diminta mengiringi Musa ke Istana Negeri, namun berpatah balik tidak lama selepas itu.

“Sesampainya di Sri Gaya, video kunjungan Datuk Seri Madius ke rumah Datuk Seri Shafie mulai viral dan sampai ke pengetahuan Tan Sri Musa.

“Video tersebut mencetuskan reaksi marah Tan Sri Musa yang kemudiannya meminta saya menghubungi Datuk Seri Madius untuk bercakap dengan beliau. Bagaimanapun, saya tidak dapat berhubung dengan presiden saya.”

Susulan itu, katanya, beliau dan adun lain dipanggil Musa untuk menerangkan beberapa perkara, termasuk sama ada mereka akan menubuhkan parti tempatan baru atau menyertai parti tempatan sedia ada seperti Parti Bersatu Sabah (PBS).

“Begitu banyak kenyataan disampaikan di dalam bilik tersebut. Dan bagi saya yang pertama kali berada dalam situasi tersebut, ianya mencetuskan perasaan cemas. Terus terang saya ketakutan.”

Benedick berkata, sebelum majlis angkat sumpah ketua menteri oleh Musa pada 10 Mei lalu, beliau tidak dapat menemui pucuk pimpinan Upko disebabkan faktor keselamatan, tetapi berjaya menghubungi mereka.

“Sebaik sahaja rombongan Sri Gaya sampai semula di Istana Negeri, saya mencari jalan bagaimana dapat memaklumkan Yang di-Pertua Negeri (Tun Juhar Mahiruddin) tentang pendirian saya.

“Akhirnya sekitar jam 8 malam lebih, barulah saya dapat berjumpa dengan Tun dan memaklumkan saya bersama-sama dengan parti saya dalam keputusan yang telah dibuat.

“Dua lagi adun Upko kemudian tampil menyatakan pendirian kepada Tun, sama dengan pendirian saya. Kami menandatangani satu perakuan baru malam itu dan ianya dipegang oleh pegawai Tun.

“Rasanya pendirian ketiga-tiga adun inilah yang menyebabkan majlis angkat sumpah tersebut tertangguh beberapa jam. Kami difahamkan Tan Sri Musa sangat tidak senang hati dengan pendirian baru kami. Kami percaya majlis angkat sumpah tersebut diteruskan dalam keadaan yang sangat tertekan.”

Musa mengangkat sumpah sebagai ketua menteri buat penggal ke-5 di depan Juhar, di Istana Negeri, kira-kira 11 malam 10 Mei lalu selepas memperoleh sokongan 2 adun Parti Solidariti Tanah Airku (Star).

Bagaimanapun, tidak sampai 48 jam kemudian, Shafie pula mengangkat sumpah sebagai ketua menteri selepas 6 adun BN bertukar pihak yang membolehkan Warisan membentuk kerajaan negeri selepas mendapat majoriti mudah dengan 35 kerusi negeri.