
Beliau tiba di kediamanya di Jalan Duta kira-kira jam 1.17 petang selepas hampir 3 jam meninggalkan Pekan sambil diiringi pengiring.
Najib dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor, pulang melalui jalan darat kerana tidak boleh lagi menaiki pesawat.
“Pagi tadi saya menaiki kenderaan ke Pekan sebab tak ada lagi kapal terbang. Saya bertolak 9.30 pagi, sampai Pekan 12.10 tengah hari,” katanya ketika berucap di hadapan penyokongnya di Pekan semalam.
Program di Pekan merupakan acara pertama beliau di kubu kuatnya itu sejak memenangi Parlimen itu pada 9 Mei lalu.
Beberapa jam sebelum Najib tiba di kediamannya, kelihatan beberapa individu memasuki perkarangan rumah bekas perdana menteri itu.
Kumpulan memberitahu pemberita kedatangan mereka “atas urusan kerja” dan tiada kaitan dengan parti.
Najib perlu tampil ke ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya esok dalam siasatan ke atas SRC International Sdn Bhd, bekas anak syarikat 1MDB.
Siasatan itu, yang sebelum ini dilaporkan berstatus “tiada tindakan lanjut”, dibuka semula ekoran komitmen kerajaan Pakatan Harapan untuk menyiasat skandal sekitar 1MDB.