Semua jawatan tertinggi Umno akan dipertandingkan, kata Zahid

KUALA LUMPUR: Semua jawatan yang dinyatakan dalam perlembagaan Umno akan dipertandingkan pada pemilihan akan datang termasuk presiden, timbalan presiden dan naib presiden, kata Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Pemangku presiden Umno berkata Umno perlukan transformasi maka tidak timbul soal tidak mempertandingkan jawatan tertentu seperti didakwa sebelum ini.

“Saya dan Datuk Seri Hishammuddin Hussein (pemangku timbalan) berlapang dada untuk ia ditandingi.

“Kita ambil langkah ke hadapan untuk mengorak dan mengamit sokongan yang ada. Kesilapan yang ada harus diperbaiki, kepimpinan Umno perlu bangun, merapatkan saf demi perjuangan. Kita yakin akhirnya kita akan bangkit. Sejarah akan kita pelajari,” kata Zahid pada sidang media di ibu pejabat Umno hari ini.

Zahid juga berkata: “Tidak ada kerajaan yang dibina dengan dibaluti rasa kebencian.”

Sebelum itu, Zahid berpesan kepada ahli Umno yang berhasrat bertanding jawatan peringkat nasional supaya membuat pendaftaran mulai 1 Jun hingga 17 Jun secara atas talian.

Bekas timbalan perdana menteri itu turut mengucapkan tahniah kepada Pakatan Harapan atas pembentukan Kabinet hari ini.

“Kami di dalam Umno akan memerhatikan setiap langkah, tindakan kerajaan baharu ini dan tentunya kami sebagai pembangkang, akan membangkang secara membina.

“Kami di pihak pembangkang, Umno dan Barisan Nasional (BN), akan melihat janji yang mereka kemukakan, terutama janji 100 hari pertama,” katanya.