Dr M mula masuk Pejabat Perdana Menteri

Dr M mula masuk Pejabat Perdana Menteri

Beliau yang memakai sut hitam tiba kira-kira 8.25 pagi di lobi Perdana Putra, disambut Timbalan Ketua Setiausaha Kanan JPM Datuk Seri Mohd Zuki Ali.

Free Malaysia Today
Dr Mahathir akan pengerusikan mesyuarat Kabinet yang pertama selepas ini.
PUTRAJAYA:
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad memasuki Pejabat Perdana Menteri hari ini untuk memulakan tugas secara rasmi dari Perdana Putra.

Dr Mahathir sebelum ini beroperasi di pejabatnya di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini, sejak kembali menerajui kembali tampuk pemerintahan negara setelah Pakatan Harapan yang dipimpinnya memenangi pilihan raya umum ke-14 (PRU14) pada 9 Mei.

Beliau yang memakai sut hitam tiba kira-kira 8.25 pagi di lobi Perdana Putra, disambut Timbalan Ketua Setiausaha Kanan Jabatan Perdana Menteri (JPM) Datuk Seri Mohd Zuki Ali.

Dr Mahathir kemudian disambut Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa di Aras 5, yang menempatkan Pejabat Perdana Menteri dan diikuti bacaan doa sebelum memasuki pejabatnya.

Beliau juga menandatangani surat memulakan tugas.

Dr Mahathir akan mempengerusikan mesyuarat Kabinet yang pertama selepas ini.

Beliau kembali bertugas di Pejabat Perdana Menteri itu selepas 15 tahun. Beliau menjadi perdana menteri Malaysia ke-4 sejak 1981 sebelum meletak jawatan pada 2003 setelah menerajui tampuk pimpinan negara selama 22 tahun.

Dr Mahathir, 92,mengangkat sumpah sebagai perdana menteri ketujuh Malaysia pada 10 Mei berikutan kemenangan Pakatan Harapan pada PRU14 itu, menjadi perdana menteri tertua di dunia.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.