Guan Eng selar Arul Kanda ‘tak jujur’ selepas pertemuan

Lim mengarahkan audit ke atas 1MDB untuk mengetahui keadaan sebenar dalam 1MDB.

PUTRAJAYA: Menteri Lim Guan Eng menyelar Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Arul Kanda Kandasamy sebagai seorang yang “tidak jujur” dan “tidak boleh dipercayai” selepas pertemuan 40 minit di Kementerian Kewangan hari ini.

Pertemuan itu merupakan sesi kedua selepas sesi pertama bersama Ahli Lembaga Pengarah 1MDB, Datuk Kamal Mohd Ali dan Datuk Norazman Ayob sebelum itu. Arul ditemani bekas ketua pegawai kewangan (CFO), Azmi Tahir, dan bekas penasihat undang-undang, Ivan Chen.

Lim meminta Arul datang bertemunya hari ini bagi menentukan status kewangan 1MDB terutama keupayaan membayar semula dan menanggung hutang.

Beliau berkata Arul seperti tidak mempunyai perasaan bersalah walaupun selepas kerajaan membayar RM7 bilion untuk melangsaikan hutang 1MDB.

“Pengarah 1MDB mengesahkan 1MDB tidak mampu membayar hutangnya. Bekas CFO, Azmi Tahir pernah menulis kepada Kementerian Kewangan pada Mac 2018 mengatakan 1MDB tidak dapat menanggung faedah bagi April dan Mei 2018.

“Bagaimanapun, Arul Kanda ketika ditanya berkata dia diarah untuk tidak bertugas sehingga kontrak tamat pada Jun 2018. Oleh itu, beliau mendakwa dia tidak tahu mengenai keadaan kewangan syarikat.”

Lim berkata dia bertanya kepada lembaga pengarah mengenai apa berlaku pada unit pelaburan bernilai AS$940 juta yang sebelum ini di Bank BSI, Singapura serta dana pelaburan bernilai AS1.56 bilion milik 1MDB Global Investment Limited.

Keseluruhan pelaburan itu dikatakan bernilai RM9.8 bilion, yang sekiranya ditebus boleh memenuhi tanggungjawab kewangan 1MDB untuk beberapa tahun akan datang, kata menteri.

“Azmi Tahir berkata ‘pelaburan’ ini wujud walaupun Bank BSI sudah ditutup. Beliau memberi alasan pengurus dana enggan berkomunikasi dengan 1MDB secara bertulis kerana siasatan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat sedang berjalan.

“Arul Kanda pula mendakwa semua perkara kewangan ditangani oleh CFO syarikat, dan dia sama sekali tidak pasti nilai ‘pelaburan’ itu, atau sama ada ia wujud.

“Saya benar-benar sukar mempercayai seorang pengurus bank pelaburan bergaji tinggi dan ‘berpengalaman’ tidak tahu sama ada pelaburan bernilai RM9.8 bilion itu berlaku.”

Arul tiba di bangunan Kementerian Kewangan sekitar 2.50 petang dan pertemuan berakhir pada 5.45 petang tanpa bertemu media.

Ini merupakan penampilan pertamanya sejak dilihat menjelajah seluruh negara untuk memberi penjelasan tentang isu 1MDB menuju pilihan raya 9 Mei.

Semalam, Lim Guan Eng berkata kementerian menyelamatkan syarikat itu dengan kira-kira RM7 bilion sejak setahun lalu.

Lim berkata kementerian bawah pentadbiran Datuk Seri Najib Razak juga membuat pembayaran kepada syarikat Abu Dhabi, IPIC, sebagai sebahagian daripada perjanjian pembayaran mencecah RM5.05 bilion.

Lim mengesahkan 1MDB memperdaya rakyat apabila mendakwa hutang dibayar melalui rasionalisasi.

Beliau hari ini berkata pihaknya sudah mengarahkan penasihat undang-undang Kementerian Kewangan mengkaji semula kedudukannya sebagai presiden 1MDB.

“Saya telah mengarahkan Kementerian Kewangan mengambil langkah-langkah melantik PwC (PricewaterhouseCoopers) menjalankan audit kedudukan istimewa dan kajian semula 1MDB supaya rakyat akan tahu keadaan kewangan sebenar dalam 1MDB.

“Kami kemudiannya akan dapat menentukan kos penipuan kepada pembayar cukai. Kami akan mengemukakan laporan PwC kepada Jawatankuasa Khas 1MDB yang ditubuhkan oleh perdana menteri sebaik sahaja ia disiapkan,” katanya.