
Beliau tertanya sama ada mereka menyangka perdana menteri itu layak menerimanya hanya kerana memenangi pilihan raya atau benar-benar percaya beliau memperjuangkan hak asasi manusia di Malaysia atau keamanan di Asia.
“Apakah dia sudah menyahkan perkauman dengan memansuhkan dasar-dasar perkauman? Adakah dia mengambil keputusan menjadikan Malaysia negara bebas tentera dan berjaya memujuk Asean untuk melakukan perkara yang sama? Apakah pandangannya tentang penyatuan Korea dan nyahnuklear?”
Kua bercakap kepada FMT semalam ketika 96,000 orang sudah menandatangani petisyen itu.
Beliau meramalkan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump dan pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un akan menerima hadiah itu tahun ini “sedangkan yang sepatutnya menerima hadiah itu ialah Kim dan Presiden Korea Selatan, Moon Jae In”.
Beliau juga berkata tidak berbaloi orang ramai melaburkan masa dan usaha menandatangani petisyen itu.
“Semua orang tahu Hadiah Keamanan Nobel cuma sandiwara,” katanya.
“Aung San Suu Kyi, yang dianugerahkan hadiah itu pada 1991, kini terbongkar bersubahat dalam pembunuhan beramai-ramai orang Rohingya di Myanmar.
“Henry Kissinger, yang menerima hadiah itu pada 1973, dikenali kerana usaha merundingkan gencatan senjata Perang Viatnam tetapi dalam masa yang sama AS secara rahsia mengebom Kemboja secara besar-besaran.
“Pada 1994, penerima hadiah itu ialah Shimon Peres, Yitzhak Rabin dan Yasser Arafat. Peres secara sistematik membangunkan keupayaan nuklear Israel. Dua tahun selepas menerima hadiah itu, dia bertanggungjawan untuk penyembelihan di Qana yang membunuh 106 orang yang berlindung di bangunan PBB di Lubnan.”
Peres adalah perdana menteri Israel antara 1984 hingga 1986 dan 1995 hingga 1996. Rabin berkhidmat selama 2 penggal sebagai perdana menteri Israel (1974-77 dan 1992-95). Arafat ialah pemimpin Pertubuhan Pembebasan Palestin.
“Ada banyak lagi pilihan yang meragukan untuk hadiah itu, termasuk Barack Obama, yang membenarkan pengeboman paling banyak lebih dari mana-mana presiden AS sebelum ini,” kata Kua.
Beliau berkata beberapa aktivis keamanan enggan dikaitkan dengan hadiah itu, seperti Mordechai Vanunu, seorang juruteknik nuklear yang merengkok dalam penjara selama 18 tahun kerana membocorkan butiran program nuklear Israel.