Sime Darby risau gaji minimum RM1,500 jejas industri

Menurutnya, Sime Darby Plantation dan pemain industri lain kini sedang mohon kepada kerajaan bagi menangani kebimbangan gaji minimum.

PETALING JAYA: Syarikat ladang kelapa sawit terbesar dunia berdasarkan kawasan ditanam, Sime Darby Plantation Bhd menjangka cadangan kenaikan upah minimum kepada RM1,500 akan mendatangkan kesan buruk terhadap industri perladangan.

Timbalan Pengerusi Eksekutif dan Pengarah Urusan, Tan Sri Mohd Bakke Salleh berkata, cadangan itu jika dilaksana, akan meningkatkan kos tenaga kerja kepada jumlah kos pengeluaran sebanyak 35% daripada 26% pada masa ini.

“Ini bermakna kos tambahan sebanyak RM185 satu tan metrik,” katanya pada taklimat media mengenai prestasi kewangan suku ke-3 syarikat itu hari ini.

Menurutnya, Sime Darby Plantation dan pemain industri yang lain kini sedang membuat permohonan untuk dikemukakan kepada kerajaan bagi menangani kebimbangan mengenai gaji minimum.

“Sekiranya dilaksanakan saya harap gaji minimum RM1,500 tidak akan diwajibkan kerana ia boleh mendatangkan kesan buruk ke atas kewangan,” katanya.

Pakatan Harapan dalam manifesto pilihan raya umum ke-14 berjanji meningkatkan gaji minimum kepada RM1,500.

Mohd Bakke berkata, satu lagi perkara membimbangkan Sime Darby adalah janji untuk mengurangkan pekerja asing.

Menurutnya, perladangan adalah industri intensif buruh dan pekerja asing merupakan 70% daripada jumlah tenaga kerja dalam industri tersebut.

Oleh itu, apa-apa gangguan kepada tenaga buruh akan memberi impak besar kepada industri, katanya.

“Walaupun Sime Darby Plantation mencapai 85% kemajuan dalam automasi tetapi anda hanya boleh melakukan sebanyak itu sahaja dengan mekanisasi,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Sime Darby Plantation optimis dapat mengukuhkan pengeluaran tandan buah segar di Liberia kepada kira-kira 18 hingga 28 tan metrik sehektar daripada 7.0 tan pada masa ini.

Beliau berkata, dengan inisiatif pengurusan air yang baik dan amalan agronomi yang mantap, syarikat itu yakin dapat meningkatkan hasil pengeluaran.

“Tanaman kami agak muda, apabila ia mencapai tempoh matang di antara 9 dan 15 tahun, kami akan mendapat yang terbaik daripadanya,” katanya.

Sementara itu, mengenai rancangan syarikat itu untuk menjual sahamnya dalam New Britain Palm Oil Ltd (NBPOL), Mohd Bakke berkata, syarikat itu masih berminat untuk mengurangkan pemilikannya dalam NBPOL kepada 60% daripada 100% ketika ini.

Bagaimanapun, beliau berkata, syarikat itu perlu memilih pembeli berpotensi kerana ia mahukan rakan kongsi jangka panjang.

Beribu pejabat di Port Moresby, Papua New Guinea, NBPOL adalah pengeluar industri minyak kelapa sawit bersepadu yang berskala besar di Australasia dengan lebih 83,000 hektar ladang kelapa sawit yang ditanam, 10.000 hektar dalam persediaan untuk kelapa sawit, lebih 5,600 hektar untuk tebu, 9,000 hektar padang ragut dan 12 kilang minyak.