PM: Elaun keraian pegawai tinggi kerajaan dipotong 10%

PM: Elaun keraian pegawai tinggi kerajaan dipotong 10%

Elaun bagi gred JUSA A ke atas dipotong sebagai langkah penjimatan kerajaan.

Free Malaysia Today
Dr Mahathir Mohamad berkata ujian kompetensi Bahasa Inggeris akan dijalankan terhadap pegawai tinggi kerajaan. (Gambar bernama)
PUTRAJAYA:
Elaun keraian bagi pegawai tinggi kerajaan gred Jusa A dan ke atas akan dipotong sebanyak 10% berkuat kuasa Julai ini, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Ia sebagai langkah penjimatan kerajaan,” katanya ketika mengumumkan perkara itu dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Kabinet di Perdana Putra hari ini.

Dalam pada itu, Dr Mahathir berkata Malaysia akan menghantar satu pasukan ke India untuk mengkaji idea-idea inovatif yang diusahakan kerajaan negara itu dalam meningkatkan kecekapan perkhidmatan awam.

Bagi meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan pegawai tinggi kerajaan, beliau berkata ujian kompetensi Bahasa Inggeris akan dijalankan terhadap mereka.

“Bahasa Inggeris amatlah penting dan perlu dikuasai pegawai tinggi kerajaan kerana kerap ada rundingan yang perlu dibuat dengan pihak asing,” katanya.

Selain itu, Dr Mahathir berkata badan dan institusi di bawah pelbagai kementerian akan diselaraskan semula untuk mengelakkan pertindihan dan mengoptimumkan penggunaan sumber kerajaan.

“Kita hendak mengurangkan kos kerajaan, jadi terdapat beberapa badan tidak relevan kita akan bubar. Kebanyakan datang dari Kementerian kesihatan,” katanya.

Menurutnya kabinet turut membincangkan isu pertindihan kuasa antara kementerian yang akan diselesaikan selepas kerajaan membuat perbandingan terhadap kementerian berkaitan.

Berhubung Bantuan Sara Hidup (BSH) yang menggantikan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), Dr Mahathir berkata kelayakan bagi mendapatkan bantuan itu akan dikaji semula pada masa akan datang.

Bagaimanapun, katanya BSH yang dijadualkan pada hari ini akan tetap dibayar mengikut kelayakan sedia ada.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.