Adakah beliau akan bertanding? Ku Li minta bersabar

Tengku Razaleigh berkata ahli politik muda perlu dibenarkan memimpin parti.

KUALA LUMPUR: Tengku Razaleigh Hamzah belum mahu memberi kepastian sama ada dia akan bertanding jawatan presiden, mengatakan partinya mempunyai ramai ahli politik muda dan berbakat yang berpengalaman.

Tengku Razaleigh, 81, digesa bertanding jawatan nombor 1 itu selepas peletakan jawatan Datuk Seri Najib Razak ekoran kekalahan parti itu pada pilihan raya umum.

Beliau sekadar menjawab soalan pemberita tentang keberangkalian menyertai pertandingan itu nanti, dengan berkata: “Lebih 50/50 lah. Kalau mereka (akar umbi) mahu saya sertai pertandingan, saya akan tawarkan diri.”

Terdapat spekulasi mengatakan dia akan mengumumkan pencalonannya esok di forum pasca pilihan raya umum di Kelab Sultan Sulaiman, di Kampung Baru, tapak tradisi acara-acara Umno.

Dia mengakui usia tidak akan membantunya pada pemilihan parti itu nanti, dan berharap ahli politik lebih muda akan memimpin parti.

“Ada ramai ahli politik muda dan berbakat, yang lebih berpendidikan tinggi dan berpengalaman. Kita mesti benarkan orang-orang muda memimpim parti,” katanya.

Diasak pemberita sama ada dia akan bertanding, Tengku Razaleigh berkata: “Bersabarlah.”

Pencalonan untuk pemilihan parti akan ditutup pada 17 Jun ini, dan pengundian akan diadakan pada 30 Jun. Pemilihan ini berlaku selepas hampir 3 tahun selepas parti berjaya mendapatkan lanjutan tarikh akhir pemilihan.

Selepas Najib meletakkan jawatan, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memangku tugas presiden, selepas diminta menggalas tugas timbalan apabila Tan Sri Muhyiddin Yasin disingkirkan. Naib Presiden Datuk Seri Hishammuddin Hussein pula memangku tugas-tugas timbalan presiden.

Zahid mengumumkan dia akan bertanding jawatan presiden, manakala Hishammuddin mengumumkan dia tidak akan menyertai pertandingan kali ini, berkongsi tanggungjawab atas kekalahan parti itu dengan sepupunya, Najib.

Kedua-dua ahli politik itu ialah cucu pengasas Umno, Datuk Onn Jaafar.

Bekas menteri besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan mengumumkan hasrat bertanding timbalan presiden.