Dr M: Gabenor Bank Negara baru dilantik tak lama lagi

Dr M: Gabenor Bank Negara baru dilantik tak lama lagi

Perdana menteri berkata, kerajaan tidak boleh mengumumkan nama pengganti Muhammad Ibrahim sehingga mendapat perkenan Agong.

Free Malaysia Today
Dr Mahathir Mohamad berkata, kerajaan sudah mengenal pasti pengganti Muhammad Ibrahim. (Gambar AFP)
TOKYO:
Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, pengganti Tan Sri Muhammad Ibrahim sebagai gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) sudah dikenal pasti.

Bercakap pada dialog dengan wartawan di Japan National Press Club di sini, hari ini, perdana menteri berkata, pelantikan itu akan dibuat tidak lama lagi.

“Walaupun, kami telah mengenal pasti orang (berkenaan), kami tidak boleh menamakan orang itu sehingga kami mendapat perkenan Baginda (Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V).

“Sehingga itu, kami tidak dapat mengumumkan nama,” kata Dr Mahathir menjawab pertanyaan mengenai perkara itu.

Muhammad memegang jawatan gabenor BNM pada 1 Mei 2016, menggantikan Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz. Beliau adalah gabenor ke-8 BNM.

BNM dilaporkan terlibat dalam kontroversi berhubung pembelian tanah bernilai RM2 bilion yang dikatakan mempunyai kaitan dengan kegagalan 1MDB.

Dr Mahathir juga ditanya mengenai kemungkinan krisis ekonomi melanda Malaysia disebabkan tahap hutang yang besar.

Malaysia, katanya, bernasib baik kerana mempunyai simpanan besar seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), sebagai contoh, dan banyak lagi institusi lain yang menyimpan wang agak banyak.

“Jadi, itu boleh menjadi sokongan dalam usaha kami untuk memulihkan ekonomi.”

Beliau menjelaskan Malaysia mempunyai pengalaman tertentu dalam menangani masalah kewangan, seperti pada 1997 yang mana ia berjaya keluar daripada krisis itu.

“Kami berasa kami tahu sesuatu tentang perkara kewangan negara yang akan membolehkan kami untuk pulih dan memperoleh semula kekuatan kewangan kami seperti sebelum ini.

“Saya tidak fikir di bawah pentadbiran kerajaan ini, negara akan terjerumus dalam kebankrapan.”

Dr Mahathir berada di sini untuk lawatan kerja 3 hari bagi menghadiri Persidangan Antarabangsa Masa Depan Asia atau Persidangan Nikkei ke-24, awal hari ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.