
Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, Anwar sepatutnya turun padang menjelaskan undang-undang syariah, termasuk Rang Undang-undang meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau RUU 355, untuk meyakinkan masyarakat bukan Islam ia tiada kaitan dengan mereka.
“RUU Mahkamah Syariah bukan perkara baru dan sehingga kini tiada seorang pun bukan Islam didakwa di Mahkamah Syariah.
“Apa yang penting, perjalanan Mahkamah Syariah mesti betul dengan kehendak syarak, bukan sepertimana yang ada kerana sebahagiannya tidak menepati dalil syarak yang soreh (jelas),” katanya kepada FMT.
Ahli Parlimen Kubang Kerian itu mengulas kenyataan Anwar yang juga ketua umum Pakatan Harapan dilaporkan berkata, orang bukan Islam berhak membahas undang-undang syariah kerana undang-undang yang hanya dikenakan ke atas umat Islam boleh mendatangkan kesan kepada kaum lain.
“Mereka (penyokong RUU 355) bercakap seakan-akan kita (rakyat Malaysia) semua orang Islam dan orang lain tak perlu peduli.
“Mereka (bukan Islam) mempunyai hak untuk peduli,” katanya RUU 355 yang diusulkan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Anwar dilaporkan berkata, PKR menghormati hak Hadi membentangkan RUU 355, tetapi ahli Parlimen lain perlu diberi peluang untuk membahas, meminda atau menolak RUU itu.
Perbahasan RUU 355 ditangguhkan sejak tahun lalu, selepas Hadi pertama kali membentangkan usul persendirian itu di Dewan Rakyat pada Mei 2016.
RUU 355 mencadangkan hukuman penjara ke atas pesalah syariah ditambah kepada 30 tahun, denda maksimum RM100,000 dan sebat 100 kali berbanding maksimum 3 tahun penjara, denda RM5,000 dan 6 sebatan yang boleh dijatuhkan Mahkamah Syariah ketika ini.
Tuan Ibrahim berkata, pada dasarnya bukan Islam tidak dilarang membahas undang-undang syariah jika ia dibuat dengan penuh adab.
“Bukan Islam tidak pernah dilarang untuk membahasnya dengan penuh adab dan penghormatan kepada Islam sebagai agama rasmi di negara ini.
“Kerajaan bertanggungjawab membetulkan keadaan ini, berikan hak kepada umat Islam untuk mengamalkan agama mereka, di saat bukan Islam tidak pernah dihalang mengamalkan agama mereka.
“Apakah orang Islam boleh campur tangan dalam urusan agama mereka (bukan Islam), berlaku adilkah dalam mengeluarkan kenyataan?” soalnya.