Ku Li tanding jawatan presiden Umno

Ku Li akan memastikan Umno dapat memainkan peranan sebagai pembangkang yang setia dan bertanggungjawab terhadap negara.

KUALA LUMPUR: Tengku Razaleigh Hamzah hari ini menawarkan diri bertanding jawatan presiden parti pada pemilihan Umno 30 Jun ini.

Veteran parti berusia 81 tahun itu yang juga ketua Umno Bahagian Gua Musang berkata, keputusan itu diambil selepas meneliti kedudukan dan situasi parti, khasnya berkaitan soal kepimpinannya.

“Saya membuat keputusan ini demi kepentingan Umno sebagai sebuah pertubuhan politik nasional yang mendukung hasrat kebangsaan untuk menjunjung perpaduan kaum dan keharmonian ras sebagai gelegar dan teras negara.

“Sebagai sebuah parti politik kaya dengan pengalaman, saya yakin akan dapat memimpin Umno untuk meneruskan tradisi tersebut,” katanya pada sidang media di kediamannya, hari ini.

Di samping itu katanya, beliau akan memastikan Umno dapat memainkan peranan sebagai pembangkang yang setia dan bertanggungjawab terhadap negara dalam mengorak langkah ke persada dunia sebagai sebuah negara maju.

Tengku Razaleigh berkata, Umno  akan terus menjaga dan melindungi budaya serta warisan Melayu, di samping menghormati kepelbagaian kaum di negara ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, di bawah kepimpinannya, perubahan akan dibuat bagi menyesuaikan parti dalam realiti politik pasca pilihan raya umum ke-14.

“Tidak dapat dinafikan Malaysia kini telah mencapai tahap kematangan politik membanggakan. Kematangan politik ini memerlukan pemimpin matang politik.

“Begitu juga halnya dengan Umno. Sebagai pengamal politik aktif sejak menjadi ahli Umno pada 1962, tidaklah keterlaluan sekiranya saya katakan saya amat faham selok-belok politik kepartian dan politik di peringkat kebangsaan.

“Kepada saya, ini merupakan satu-satunya ujian sekiranya seseorang itu ingin menawar dirinya bagi tugas kepimpinan.”

Mengenai keyakinannya memenangi jawatan nombor satu parti, beliau berkata terpulang kepada anggota parti untuk membuat pemilihan, selain menerima banyak sokongan di peringkat bahagian.

Tengku Razaleigh yang dijangka menghantar borang pencalonan sebelum tarikh tutup esok, akan menggunakan slogan “Ikhlaskan Jiwa Martabatkan Maruah’ dalam perebutan jawatan itu.

Pertandingan merebut jawatan presiden bukan sesuatu yang baru untuk tokoh politik veteran itu, selepas tewas dengan 43 undi kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bagi merebut jawatan presiden pada pemilihan parti 1987.

Pada 2004, beliau menawarkan diri bertanding menentang perdana menteri dan presiden Umno ketika itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi, tetapi gagal mendapat peratusan pencalonan diperlukan.

Sementara itu, Tengku Razaleigh menegaskan tiada calon khusus dipilih untuk membarisi kepimpinan di bawahnya kerana semua calon yang bertanding mewakili parti secara keseluruhannya.

Dalam pada itu, ketika ditanya sama ada beliau akan menyingkirkan bekas presiden, Datuk Seri Najib Razak dari Umno sekiranya menang, katanya: “Mengapa saya perlu melakukannya? Kecuali terdapat sesuatu perkara yang sangat salah”.

Selain itu, ketika ditanya adakah keputusannya untuk bertanding dibincangkan dengan Naib Presiden Umno yang menjalankan tugas Presiden, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada pertemuan mereka baru-baru ini, beliau berkata pada pertemuan itu, Zahid sekadar menerangkan kedudukan semasa parti.

“Zahid jumpa saya selepas dia memangku jawatan presiden sesudah Najib letak jawatan. (Zahid) beritahu saya kedudukan yang baru. Saya kata baguslah, jalankan mengikut objektif dan tujuan.”

Ditanya adakah beliau akan menjadi ketua pembangkang di Parlimen sekiranya menang dalam pemilihan parti, Tengku Razaleigh sekadar berkata, terpulang kepada keputusan Parlimen.

Turut hadir pada sidang media itu Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Ketua Umno Bahagian Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.