Ku Li calon presiden Umno lebih berwibawa

(Dari kiri) Tawfik Ismail, Syed Hamid Albar dan Kamarul Zaman percaya Tengku Razaleigh merupakan calon lebih kuat berbanding Zahid Hamidi.

PETALING JAYA: Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah adalah calon tepat untuk memimpin Umno, kata 2 bekas Ahli Parlimen Umno, sementara penganalisis politik bebas percaya beliau merupakan calon lebih baik berbanding, pemangku presiden parti itu, Datuk Seri Zahid Hamidi.

Tawfik Ismail dan veteran Umno, Tan Sri Syed Hamid Albar bersetuju pengalaman Tengku Razaleigh dalam kerajaan dan pembangkang berguna kepada Umno selepas parti itu kehilangan kuasa berikutan pilihan raya umum 9 Mei lepas.

Penganalisis bebas, Dr Kamarul Zaman Yusoff berkata Tengku Razaleigh dilihat lebih berkelayakan, berwibawa dan pesaing berpengalaman terhadap Pengerusi Pakatan Harapan dan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Bagaimanapun pensyarah Universiti Malaya, Prof Awang Azman Awang Pawi percaya calon lebih muda patut bertanding merebut jawatan tertinggi itu.

Semalam Tengku Razaleigh yang lebih dikenali dengan panggilan Ku Li mengumumkan akan bertanding merebut jawatan presiden Umno yang kosong berikutan peletakan jawatan Datuk Seri Najib Razak bulan lepas.

Apa kata pemerhati:

Bukan “yes man”, berpengalaman sejak era Dr Mahathir

Anak bekas timbalan perdana menteri dan Anggota Parlimen, Tawfik Ismail berkata, Umno akan mendapat faedah daripada pemimpin yang merupakan Ahli Parlimen berpengalaman sejak era Dr Mahathir sebelum ini.

Tidak seperti Zahid, Tengku Razaleigh tidak dikenali sebagai seorang “yes man”, katanya. Umno kini parti pembangkang dan Tengku Razaleigh pernah menjadi pembangkang sebelum ini, sedangkan Zahid sentiasa berada dalam Umno. Tengku Razaleigh menubuhkan Semangat 46 kerana menentang kerajaan Dr Mahathir pada awal 1990-an.

Tawfik berkata Dr Mahathir bertanggungjawab membawa Umno ke jalan berbeza yang menjadi punca bagi masalah dihadapi parti itu sekarang, selain itu pemimpin muda PH akan mendapat manfaat dengan Tengku Razaleigh menjadi ketua pembangkang.

Pemimpin PH tidak tahu tentang “tingkah-laku Dr Mahahthir semasa menjadi perdana menteri” sebelum ini “dan apa yang mampu dilakukannya”.

Tokoh dipercayai rakyat

Syed Hamid berkata, dengan pengalaman selama bertahun-tahun dalam Umno dan kerajaan, Tengku Razaleigh amat berkelayakan sebagai presiden parti.

Katanya, ahli Umno perlu memilih pemimpin yang boleh membina semula parti, perbaiki imej Umno yang rosak dan memenangi semula kepercayaan rakyat, bukan hanya orang Melayu. “Mereka perlu pilih tokoh yang mampu mendapat kepercayaan semua rakyat Malaysia,” kata beliau.

Tengku Razaleigh boleh mengalahkan Zahid

Kamarul percaya kewibawaan dan kelayakan Tengku Razaleigh akan membantunya mengalahkan Zahid kerana beliau dilihat lebih “berkebolehan, berwibawa dan pesaing Dr Mahathir yang berpengalaman.

Sebagai bekas menteri kewangan dan pegawai eksekutif pertama Petronas, beliau dilihat sebagai seorang teknokrat dengan kemahiran dalam isu ekonomi.

“Imejnya juga bersih. Beliau tidak dikaitkan dengan Najib dan menguasai bahasa Inggeris, tidak seperti Zahid yang diketawakan ramai kerana tidak menguasai bahasa itu.”

Kamarul percaya ahli Umno berasa kurang senang terhadap pertemuan terbaru Zahid dengan Dr Mahathir selepas pilihan raya. “Mahathir berkata Zahid meminta nasihat beliau. Itu bukan sahaja pantang, tetapi merupakan tanda kelemahan,” katanya.

Zahid hanya perlu bertanding mempertahankan jawatan timbalan presiden, kata Kamarul.

Pemimpin muda patut bertanding jawatan presiden

Awang mempersoalkan sama ada pencalonan Tengku Razaleigh menunjukkan Umno ketandusan pemimpin berwibawa.

“Sebelum ini Umno mengkritik PH kerana melantik Dr Mahathir sebagai pemimpin. Sekarang mereka perlu bertebal muka sekiranya Ku Li terpilih sebagai presiden,” katanya.

Calon lebih muda seperti ketua Pemuda, Khairy Jamaludin sepatutnya bertanding jawatan tertinggi itu, kata Awang. “Pencalonan Tengku Razaleigh menunjukkan ahli Umno tidak yakin dengan pemimpin muda.”

Beliau menjangka Umno Johor akan menyokong Tengku Razaleigh, sementara bahagian Umno di Perak dan Sabah menyokong Zahid. Bagaimanapun katanya, Tengku Razaleigh tidak ada kaitan dengan kerajaan Najib dan skandal 1MDB.

Penamaan calon pemilihan Umno ditutup hari ini, sementara proses pengundian dijadualkan berlangsung pada 30 Jun depan.

Pemilihan Umno sebelum ini ditangguhkan selama 3 tahun selepas parti itu berjaya mendapatkan lanjutan tempoh pemilihan daripada Pendaftar Pertubuhan Malaysia (RoS).