Debat: Khairy sahut cabaran Tengku Razaleigh

Calon presiden berkata Umno perlu dilihat mahu berubah pada pemilihan kali ini. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Calon presiden Umno Khairy Jamaluddin menyahut cabaran debat dan mengisytiharkan harta daripada pesaingnya, Tengku Razaleigh Hamzah.

Ahli Parlimen Rembau berkata pemilihan kali ini menentukan masa depan Umno kerana ia diperhatikan semua ahli parti dan menjadi tumpuan rakyat.

“Sudah tentu boleh. Sudah tentu kena berdebat dan berbincang dan juga isytihar harta. Mengenai isytihar harta saya akan persiapkan diri untuk perkara berkenaan.

Khairy menyifatkan pemilihan kali ini sebagai satu pertandingan dalam semangat kekeluargaan.

“Perlu ada debat sebab rakyat juga hendak tengok dan ia juga akan kuatkan budaya demokrasi dalam Umno. Dalam debat ini, calon diukur melalui idea dan visi yang ditawarkan kepada rakyat,” katanya pada sidang media di ibu pejabat Umno hari ini.

Sebelum ini, Tengku Razaleigh mengajak Khairy dan seorang lagi pesaing, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk berdebat isu dan mengisytiharkan harta masing-masing untuk jawatan nombor satu Umno.

Pemilihan kali ini merupakan pertandingan pertama untuk Umno selepas menjadi pembangkang, apabila tewas teruk pada pilihan raya umum 9 Mei lepas.

Calon yang terpilih dikatakan diberi tanggungjawab berat untuk memulihkan Umno.

Khairy berkata pemilihan kali ini menuntut perubahan luar biasa dalam Umno kerana parti itu tidak lagi boleh dilihat terpisah dari rakyat.

Beliau berkata pemilihan harus dilaksanakan secara telus kerana rakyat mahu melihat adakah parti masih dicemari politik wang atau ada unsur-unsur ugutan dalam pemilihan pemimpin.

“Kena sedar bahawa kita sudah kalah, kita kini ada ruang kecil untuk buktikan kita mampu berubah dan jika buat kesilapan sama seperti dahulu, saya bimbang ruang pintu itu akan tertutup selamanya,” katanya.

Sementara itu, di satu majlis sambutan hari raya Wanita Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra hari ini, Khairy bertembung dengan pesaingnya, Zahid, yang sekarang memangku tugas-tugas presiden parti.

Mereka bersalaman dan berpelukan tanpa mengambil soalan daripada pemberita. Zahid belum mengesahkan sama ada dia akan menyahut cabaran Tengku Razaleigh, cuma berkata dia akan menyambut pemimpin veteran itu dengan pelukan.

Selain trio ini, 4 lagi calon yang mahu merebut jawatan presiden ialah penulis blog, Rahmat Azim Abdul Aziz, Rosile Saat (Umno Bangi), Mohamed Iqbal Maricair (Umno Bandar Tun Razak) dan Mohd Yusof Musa @ Jamaluddin (Umno Iskandar Puteri).