Exco: Kerajaan PAS Terengganu tidak halang pelancong ‘berbikini’

Mohamad Nor berkata, kerajaan PAS Terengganu berpuas hati dengan garis panduan yang ditetapkan kerajaan negeri terdahulu, khususnya melibatkan aktiviti pelancongan di negeri itu. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Kerajaan PAS Terengganu tidak menghalang pelancong bukan beragama Islam dari dalam atau luar negara untuk melakukan aktiviti pelancongan, termasuk “berbikini” di kawasan pulau dan pantai negeri itu.

Exco Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan, Mohamad Nor Hamzah berkata kerajaan menghormati hak orang bukan Islam untuk “berbikini”, walaupun asas perjuangan parti itu ialah memartabatkan agenda Islam.

“Setakat ini kita kekal dengan peraturan sedia ada, sebab pelancong ada hak mereka yang tersendiri khususnya bukan Islam (untuk berbikini).

“Kita bersikap toleransi dalam mengurus keadaan yang ada secara harmoni dan kasih sayang. Kebebasan diberi kepada pelancong bukan Islam dengan syarat ia tidak melampaui batas dan setakat ini keadaan di pulau pelancongan terkawal dan pemantauan dibuat,” katanya kepada FMT mengulas kebimbangan pihak tertentu kononnya di bawah pentadbiran PAS aktiviti pelancongan Terengganu akan dihalang, terutama kepada pelancong asing yang tidak menutup aurat.

Mohamad yang juga Adun Bukit Payong berkata kerajaan PAS Terengganu berpuas hati dengan garis panduan ditetapkan kerajaan negeri terdahulu, khususnya melibatkan aktiviti pelancongan di negeri itu.

“Setakat ini kita menaruh keyakinan dan kepercayaan sepenuhnya kepada agensi kerajaan yang terlibat dalam penguatkuasaan peraturan sudah sedia ada.

“Kita melihat perlaksanaan peraturan yang ditetapkan agak baik melibatkan kawasan pelancongan dan kita cuba untuk tambah baik sebab kita tak nafi ada ruang yang boleh kita pertingkatkan,” katanya.

Sebelum ini negara Islam seperti Arab Saudi dilaporkan tidak menghalang aktiviti “berbikini” di negara itu.

Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed bin Salman mengumumkan rancangan membina sebuah resort mewah di pantai Laut Merah yang membenarkan wanita berbikini di bawah undang-undang khas.

Akhbar The Telegraph melaporkan projek itu adalah sebahagian daripada Wawasan 2030 Putera Mohammed – sebuah pelan memoden dan mempelbagaikan ekonomi Arab Saudi dan mengurangkan kebergantungan terhadap minyak.

PAS berjaya menawan kembali Terengganu pada pilihan raya lepas selepas tewas pada 2004.

Mengulas mengenai perlaksaan hukuman syariah, termasuk mengenakan tindakan kepada pelaku tidak solat Jumaat, Mohamad berkata ia diteruskan seperti biasa.

Cuma pendekatan kerajaan negeri hari ini sedikit berbeza apabila kaedah mendidik didahulukan, bukannya menjadi sebuah kerajaan yang menghukum, katanya.

“Kita akan teruskan seperti biasa dan akan mengutamakan penjelasan, perbincangan serta mendidik rakyat terlebih dahulu. Itu fokus utama kita, bukan terus menghukum. Kita tidak akan jadi sebuah kerajaan terus mendesak dan menghukum, kita beri ruang untuk menasihat,” katanya.

Arab Saudi bina resort mewah benarkan wanita berbikini