Gerakan tinggalkan BN, kekal pembangkang

Gerakan tinggalkan BN selepas 45 tahun bersama gabungan itu.

PETALING JAYA: Gerakan hari ini mengumumkan ia akan meninggalkan Barisan Nasional selepas 45 tahun bersama gabungan itu, yang diasaskannya dengan parti komponen lain.

Jawatankuasa pusat Gerakan dalam kenyataan berkata keputusan dicapai secara sebulat suara selepas mempertimbangkan perkembangan politik semasa pasca pilihan raya umum ke-14 secara serius dan menyeluruh.

Parti komponen Sarawak dan Sabah sudah meninggalkan gabungan itu, yang hilang kuasa sebagai kerajaan persekutuan pada pilihan raya umum bulan lepas.

Barisan Nasional kini terdiri daripada parti-parti era Perikatan iaitu Umno, MCA dan MIC.

Kenyataan itu berkata Gerakan akan kekal sebagai parti bebas dan pembangkang kepada Pakatan Harapan, dan akan “bekerjasama dengan parti-parti, individu-individu dan kumpulan-kumpulan yang sehualuan”.

Parti itu muncul sebagai parti berbilang kaum yang terdiri daripada aktivis dan ahli politik berhaluan kiri pada 1969 dalam satu gelombang penentangan terhadap Perikatan.

Ia menawan Pulau Pinang dan berpengaruh di Perak dan Selangor.

Bagaimanapun, pengaruhnya terhakis sejak kebelakangan ini dan parti itu tidak lagi mempunyai wakil rakyat di Parlimen.

Ia ditewaskan di Pulau Pinang pada 2008 selepas 4 dekad mentadbir negeri itu.

Pada pilihan raya umum bulan lepas, Presiden Gerakan Datuk Seri Mah Siew Keong ditewaskan di Parlimen Teluk Intan. Dia antara pemimpin parti-parti komponen BN yang ditewaskan.

Gerakan berkata ia kini mencari hala tuju politik baru untuk kekal bertahan dan meneruskan perjuangannya.