Mahkamah tolak permohonan reman Siti Kasim

KAJANG: Mahkamah Majistret menolak permohonan reman terhadap peguam Siti Kasim berkenaan dakwaan menghalang pihak berkuasa menjalankan tugas.

Datuk Ambiga Sreenevasan, yang mengetuai sekumpulan peguam bagi pihak Siti berkata, pendaftar Sharifah Fazilah Zulkifli menolak permohonan polis untuk menahan Siti selama 4 hari.

“Kami andaikan permohonan reman itu ditolak kerana tidak berasas. Pendaftar mendengar pendapat semua pihak,” katanya.

Ambiga berkata Siti disiasat bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang seorang penjawat awam menjalankan tugas.

Hampir 20 penyokong Siti dari bidang guaman dan kumpulan hak asasi manusia muncul di mahkamab untuk pendengaran reman itu, termasuk Ahli Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah dan aktivis hak asasi manusia, Ivy Josiah.

Awal pagi tadi, polis menangkap Siti di ibu pejabat polis Kajang, beberapa jam selepas anggota memasuki rumahnya kerana ada laporan menuduh beliau mengurung seorang perempuan secara paksa.

Difahamkan anak guam Siti, seorang perempuan berusia 20-an, diambil polis, selepas ibunya membuat aduan tentang keadaan akidah anaknya.

Terdahulu Siti berkata perempuan itu, yang mendakwa didera ibunya, “diculik” polis dan pihak berkuasa agama di Selangor.

Video di Facebook memaparkan Siti di balai polis, menuntut anak guamnya dibebaskan. Kedengaran suara seorang perempuan menafikan dia diculik Siti.