
Paling buruk, cubaan itu cuba mencemarkan imej Rosmah, kata peguam, K Kumaraendran dan Geethan Ram Vincent dalam kenyataan bagi pihak anak guam mereka.

“Kita sudah mengambil perhatian berkenaan perkara yang dilaporkan dalam Wall Street Journal (WSJ), sambil memetik sumber, yang mendakwa Rosmah Mansor orang utama dalam tuduhan salah laku kewangan melibatkan 1MDB.
“Kami mahu menegaskan semula di sini, anak guam kami tiada kaitan atau peranan langsung atau tidak langsung dengan operasi harian syarikat itu, lebih-lebih lagi pengurusan kewangannya, atau dengan mereka yang dilantik menyelia firma itu,” kata kenyataan itu.
Mereka berkata Rosmah selaku isteri bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak itu tidak campur tangan dalam hal-hal yang diuruskan Najib.
“Pada bila-bila masa sekali pun, Rosmah tidak pernah mempengaruhi hasil keputusan eksekutif yang dibuat.
“Kami berpendapat ini hanya digembar-gemburkan media, diburukkan lagi oleh pendapat masyarakat awam.”
Para peguam itu berkata Rosmah akan terus bekerjasama dengan pihak berkuasa yang menyiasat perkara itu.