Majlis Media, pemain industri diminta bincang BDR

Majlis Media, pemain industri diminta bincang BDR

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata dari situ sebarang pertimbangan lanjut akan dipanjangkan kepada ketua pengarah perkhidmatan awam dan Jemaah Menteri serta kementerian.

reporter media journalist
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata tumpuan utama kementerian dalam setiap keputusan berkaitan pelaksanaan BDR bagi memastikan kebajikan pekerja dalam sektor media sentiasa terpelihara.
KUALA LUMPUR:
Kementerian Komunikasi meminta Majlis Media Malaysia (MMM) berbincang dengan syarikat dan organisasi media tempatan bagi mendapatkan pandangan berhubung pelaksanaan dasar bekerja dari rumah (BDR) bagi sektor berkenaan.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, berkata tumpuan utama kementerian dalam setiap keputusan berkaitan pelaksanaan BDR adalah bagi memastikan kebajikan pekerja dalam sektor media di negara ini sentiasa terpelihara.

“Saya juga akan meminta Jabatan Penerangan mengambil tindakan berkaitan termasuk mendapatkan maklum balas ramai, dan dari situ sebarang pertimbangan lanjut kita akan panjangkan kepada KPPA (ketua pengarah perkhidmatan awam) dan maklum kepada Jemaah Menteri serta kementerian,” katanya.

Fahmi berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan Majlis Pertukaran Memorandum Persefahaman antara Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) bagi meningkatkan kerjasama penguatkuasaan dalam mengurangkan dan mencegah penipuan (scam).

Hadir sama Timbalan Menteri Kewangan Liew Chin Tong, Pengerusi SKMM Mohamad Salim Fateh Din dan Pengerusi SC Mohammad Faiz Azmi.

Rabu lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan pelaksanaan dasar BDR bagi sektor awam dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) akan bermula 15 April ini sebagai langkah proaktif dalam mendepani krisis tenaga global.

Anwar yang juga menteri kewangan berkata, keputusan itu yang dicapai dalam mesyuarat Jemaah Menteri, bertujuan mengurangkan penggunaan bahan api dan memastikan kemampanan bekalan tenaga negara yang terkesan akibat konflik di Asia Barat.

Semalam, Jabatan Perkhidmatan Awam memaklumkan pegawai perkhidmatan awam persekutuan yang berkhidmat di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya, Selangor dan semua ibu negeri dengan jarak perjalanan sehala ke pejabat melebihi 8km layak melaksanakan dasar BDR.

Bagi negeri yang hari kelepasan mingguan (HKM) jatuh pada Ahad, pelaksanaan BDR ditetapkan pada Selasa hingga Khamis secara sepenuh hari dan tidak dibenarkan pada Isnin serta Jumaat.

Sementara itu, bagi negeri yang HKM pada Jumaat, BDR dilaksanakan pada Isnin hingga Rabu dan tidak dibenarkan pada Ahad serta Khamis.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.