Kedudukan lantikan kerajaan dalam FGV terserah kepada kerajaan

Kedudukan lantikan kerajaan dalam FGV terserah kepada kerajaan

Datuk Wira Azhar Abdul Hamid, walaupun kerajaan baru mempunyai kuasa menukar lantikan terbabit, ia sewajarnya memastikan tadbir urus korporat baik.

Free Malaysia Today
Pengerusi FGV berkata proses tadbir urus harus dipastikan berjalan secara baik.
KUALA LUMPUR:
Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) menyerahkan kepada budi bicara kerajaan untuk memutuskan sama ada 3 lantikan kerajaan yang menduduki lembaga pengarahnya perlu dikekalkan.

Bagaimanapun, kata pengerusinya, Datuk Wira Azhar Abdul Hamid, walaupun kerajaan baru mempunyai kuasa menukar lantikan terbabit, ia sewajarnya memastikan tadbir urus korporat baik.

Tiga lantikan itu adalah beliau, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Datuk Zakaria Arshad dan Pengarah Bukan Bebas Bukan Eksekutif, Datuk Siti Zauyah Md Desa.

Azhar berkata, walaupun kerajaan mempunyai kuasa untuk melantik mana-mana individu menduduki Lembaga Pengarah, “kerajaan baru tidak boleh mengatakan ia tidak akan tidak menghormati kontrak tersebut.”

“Walaupun berlaku perubahan parti politik yang memerintah, senario itu tidak berubah. Kita perlu memastikan proses tadbir urus ini berjalan dengan betul,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat agung tahunan (AGM) dan mesyuarat agung luar biasa (EGM) hari ini.

EGM itu bertujuan mendapatkan kelulusan pemegang saham untuk menukar nama syarikat itu kepada FGV Holdings Bhd.

Mengulas lanjut, Azhar berkata sejak beliau dilantik menganggotai lembaga pengarah, syarikat itu tidak menerima sebarang arahan atau campur tangan daripada kerajaan.

Beliau bagaimanapun maklum, kerajaan mahu melihat FGV mencatat prestasi kukuh dan meraih untung bagi menghasilkan pulangan dividen yang menarik kepada pemegang saham, khususnya untuk Felda yang memiliki kepentingan 33.7% dalam syarikat perniagaan agro itu.

“Itu hak mutlak kerajaan dan bukannya politik,” katanya, menambah pertemuannya dengan Menteri Kewangan Lim Guan Eng baru-baru ini sebagai berhasil.

Dalam pada itu, kesemua usul dikemukakan diluluskan pada AGM itu kecuali resolusi bagi pelantikan semula Pengarah Bukan Bebas Bukan Eksekutif Datuk Seri Abu Bakar Harun yang merupakan wakil Felda.

Menurut makluman FGV kepada Bursa Malaysia, resolusi itu ditarik balik berikutan ketiadaan penyokong kedua terhadap usul tersebut.

Berhubung pertukaran nama, Azhar berkata, ia sebahagian daripada usaha penjenamaan semula syarikat bagi menyelesaikan kekeliruan di pasaran antara FGV dengan Felda yang mana secara tidak langsung memisahkannya daripada Felda.

Beliau berharap, ia akan meningkatkan prospek perniagaan FGV dan memperbaiki persepsi orang ramai terhadap syarikat itu.

Berhubung ikrar Pakatan Harapan untuk meningkatkan gaji minimum kepada RM1,500, Azhar berkata, FGV perlu menanggung tambahan RM33 juta untuk kos pengeluaran setahun bagi setiap peningkatan RM100 dalam gaji.

Gaji minimum di Semenanjung Malaysia pada masa ini adalah RM1,000 manakala di Malaysia Timur ialah RM920.

Katanya, secara purata, FGV membayar gaji asas sebanyak RM1,300 kepada kakitangannya, tidak termasuk manfaat seperti perumahan, levi, insurans dan lain-lain yang mana menjadikan jumlah pembayaran lebih daripada RM1,500 sebulan.

Azhar juga berkata, FGV melantik firma guaman berpangkalan di United Kingdom untuk melaksanakan audit forensik berhubung kemungkinan salah laku dalam pembelian berjumlah RM1.1 bilion Asian Plantations Ltd pada 2014.

Mengulas spekulasi FGV sebagai sasaran kemungkinan pengambilalihan dengan Sime Darby Plantation Bhd sebagai pihak yang berminat, beliau berkata pihaknya terbuka kepada sebarang urusan yang boleh memberi nilai tambah kepada syarikat.

Pada penghujung 2017, FGV memiliki jumlah aset sebanyak RM20.56 bilion dan modal pasaran bernilai RM6.17 bilion.

Simpanan tanahnya adalah sebanyak 440,577 hektar di Malaysia dan Indonesia, termasuk ladang getah, 69 kilang menghasilkan 2.99 juta tan minyak sawit mentah dan 10 kilang penapis di seluruh dunia termasuk usaha sama.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.