Ada cara ‘lepaskan’ akaun yang dibekukan, kata Art Harun kepada Pemuda Umno

Ada cara ‘lepaskan’ akaun yang dibekukan, kata Art Harun kepada Pemuda Umno

Azhar berkata sekiranya Umno mahukan pertolongannya, beliau boleh dihubungi melalui pesanan di laman Facebooknya.

Free Malaysia Today
Azhar berkata sekiranya Umno mengaku duit rampasan di rumah bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak yang disyaki haram itu duit Umno, sudah tentu akaun parti itu akan disiasat pihak berkuasa. (Gambar Youtube)
PETALING JAYA:
Peguam dan aktivis Azhar Harun berkata beliau mempunyai cara untuk “melepaskan” akaun Umno yang dibekukan oleh Suruhanjaya Pencagahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Azhar yang lebih dikenali sebagai Art Harun memberitahu Ketua Pemuda Umno, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki terdapat cara-cara dalam peruntukan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA) untuk melepaskan akaun yang dibekukan di bawah akta itu.

Menulis dalam laman Facebooknya Azhar berkata sekiranya Umno mahukan pertolongannya, beliau boleh dihubungi melalui pesanan di situ (laman Facebook beliau).

“Kalau nak saya tolong, sila mesej saya kat sini,” tulis beliau.

“Tapi bayar ‘in advance’ la, ok? Tapi jangan bayar dengan duit Umno, nanti akaun saya pulak kena beku,” katanya lagi.

Semalam, Asyraf menggesa SPRM menarik balik tindakan pembekuan akaun parti itu kerana pihak berkuasa masih boleh menjalankan siasatan tanpa langkah tersebut.

Beliau berkata pihaknya memohon agensi anti rasuah itu memberi pertimbangan khas kepada akaun Umno supaya parti itu boleh menanggung operasi perbelanjaan harian mereka.

Asyraf berkata pembekuan akaun parti itu merupakan tindakan melampau yang tidak langsung mencerminkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang kononnya berpaksikan keadilan dan kebebasan.

Pemangku presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi semalam mengesahkan SPRM bertindak membekukan akaun Umno sehari selepas mengumumkan parti itu akan menyalurkan semula dana kepada bahagian parti.

Art Harun sebelum itu berkata beliau berasa lucu apabila membaca gelagat pimpinan Umno mengeluarkan kenyataan berhubung pembekuan akaun parti itu.

Beliau berkata sekiranya Umno mengaku duit rampasan di rumah bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak yang disyaki haram itu duit Umno, sudah tentu akaun parti itu akan disiasat pihak berkuasa.

“Pihak berkuasa mempunyai sebab munasabah untuk menyiasat sama ada wang dalam akaun Umno pun adalah wang haram.

“Lalu akaun Umno pun kenalah dibekukan. Habis kenapa pulak tuduh pihak berkuasa menganiaya Umno,” katanya.

Beliau berkata adalah lebih baik pemimpin Umno tidak mendakwa wang rampasan itu milik parti itu sehingga menyusahkan diri sendiri.

“Siapa suruh mereka kata macam itu? Bukan ke susah sekarang.

“Kalau Umno duduk diam hari itu lebih bagus,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.