Usia perkahwinan akan dinaikkan, kata Wan Azizah

Wan Azizah berkata, pindaan itu dilakukan bagi memberi perlindungan kepada kebajikan kanak-kanak, bahkan memastikan hak-hak kanak-kanak dibela dan diberi perhatian sewajarnya. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail tidak menolak kemungkinan kerajaan membentangkan pindaan undang-undang untuk menaikkan had umur perkahwinan di Malaysia, berikutan tular kes perkahwinan seorang kanak-kanak bawah umur baru-baru ini.

Wan Azizah berkata, pindaan itu dilakukan bagi memberi perlindungan kepada kebajikan kanak-kanak, bahkan memastikan hak-hak kanak-kanak dibela dan diberi perhatian sewajarnya.

“Memang kita rasa eloklah pada masa ini, untuk menaikkan tahap umur perkahwinan dari 16 tahun kepada 18 tahun.

“Sekarang ini, 16 tahun untuk wanita dan lelaki 18, namun perkahwinan di bawah umur dibolehkan kalau mendapat kelulusan Mahkamah Syariah,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri majlis sambutan Aidilfitri dengan lebih 2,000 anak yatim, hari ini.

Sebelum ini tular di media sosial mengenai perkahwinan lelaki berusia 41 tahun dengan seorang kanak-kanak berasal dari Selatan Thai yang berusia 11 tahun.

Di Malaysia terdapat 6,246 permohonan perkahwinan kanak-kanak Islam, dan 2,775 kes perkahwinan kanak-kanak bukan-Islam antara 2010 dan 2015.

Had umum minimum perkahwinan di bawah undang-undang sivil ialah 18 tahun, sementara Mahkamah Syariah diberi kuasa membenarkan perkahwinan pasangan Islam berumur 16 tahun atau kurang.

Wan Azizah yang juga menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat berkata, beliau dimaklumkan perkahwinan kanak-kanak bawah umur itu mendapat kebenaran ibu bapa kanak-kanak berkenaan dan bapanya turut menjadi wali.

“Ibu bapanya memberikan kebenaran, bapa budak itu sendiri menjadi wali apabila anaknya berkahwin dengan lelaki berumurnya 41 tahun itu. Saya sudah bercakap dengan hakim Mahkamah Syariah.

“Ia tidak sah kerana tidak mendapat kebenaran mahkamah untuk membenarkan kanak-kanak itu berkahwin. Dari segi undang-undang tidak sah dan perlu dipisahkan,” katanya.

Tambahnya, beliau sendiri sudah menghantar pegawainya mengesan suami kanak-kanak berkenaan, namun usaha itu gagal kerana lelaki itu didakwa melarikan diri.

“Pegawai saya sudah pergi, tetapi dia sudah melarikan diri tidak tahu kemana, tidak dapat dihubungi, isteri, ibu budak itu, isteri pertama tidak jumpa, kanak-kanak itu adalah isteri ketiga.

“Kita akan hadapi dan tangani masalah ini keseluruhannya, saya sudah telefon semalam lagi selepas tular, kita bertindak secepat mungkin,” katanya.