Pemuda tak puas hati bilangan menteri DAP tak setara

Wong Kah Woh berkata tindakan Dr Mahathir tidak berpatutan. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Pemuda DAP tidak berpuas hati dengan bilangan menteri DAP yang dilantik Tun Dr Mahathir Mohamad kerana tidak setara jumlah kerusi yang dimenangi.

Ketua Pemuda Wong Kah Woh mengingatkan partinya memenangi 42 kerusi Parlimen pada pilihan raya 9 Mei lepas, yang kedua terbanyak dalam Pakatan Harapan, tetapi hanya diberi 6 jawatan menteri.

“Tindakan perdana menteri tidak berpatutan lantaran pengaturan senarai Kabinet tidak mengikuti bilangan kerusi yang dimenangi sesebuah parti,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebagai perbandingan, PKR mempunyai 47 kerusi, PPBM 13 kerusi dan Amanah 11. Di majlis angkat sumpah hari ini, jumlah keseluruhan jawatan menteri disandang PKR ialah 7 termasuk timbalan perdana menteri, PPBM 6 termasuk perdana menteri, dan Amanah 5.

Manakala bagi timbalan menteri pula, 6 dari DAP, PKR 6, PPBM 4 dan Amanah 5. Parti sekutu, Parti Warisan Sabah diberi 3 jawatan menteri dan 2 jawatan timbalan menteri.

Pemuda DAP turut mengkritik Dr Mahathir kerana menggugurkan Ketua DAP Sarawak, Chong Chieng Jen. Wong berkata perdana menteri harus “menghormati” senarai calon menteri yang dicadangkan parti-parti komponen.

Wong berkata Pemuda DAP tidak menafikan PH memberi kuasa muktamad kepada Dr Mahathir untuk memilih ahli jemaah menterinya, tetapi parti lebih memahami kelayakan dan kemampuan calon-calon yang dicadangkan.

“Perdana menteri haruslah lebih mendengari suara dan pandangan rakan-rakan seperjuangan dalam pelantikan tersebut dan bukannya bertindak dengan sebaliknya,” katanya.

Selain Chong, Pemuda DAP turut mempersoalkan pengguguran Ketua DAP Perak, Nga Kor Ming, seorang calon “cemerlang” yang memberi “sumbangan besar” kepada kemenangan PH.

Wong berkata pandangannya bukan berniat merebut jawatan tetapi untuk mewujudkan barisan Kabinet yang setara dan seimbang berdasarkan konsensus.

“Kini cadangan yang dikemukakan oleh DAP telah diketepikan, sekiranya setiausaha agung DAP (Lim Guan Eng) juga ditolak pelantikannya atas mana-mana sebab pada satu hari nanti, adakah DAP tetap akan dipaksa menerima keputusan sebegini?” kata Wong.

Setakat ini pentadbiran Dr Mahathir sudah mengumumkan 26 menteri. Sebelum ini, PH mengumumkan mereka tidak melantik lebih daripada 30 menteri.