Imigresen batal pasport Jho Low bulan lalu

Interpol mengeluarkan notis merah ke atas Jho Low pada Oktober 2016 berdasarkan permohonan Singapura. (Gambar AFP)

PETALING JAYA: Jabatan Imigresen mengesahkan pasport ahli perniagaan yang diburu pihak berkuasa, Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low dibatalkan pada 15 Jun lalu bagi membantu siasatan 1MDB.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Mustafar Ali dipetik China Press sebagai berkata, pembatalan itu susulan permintaan dikemukakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada hari sama.

Semalam, SPRM mengulangi pendirian perdana menteri menolak tawaran Jho Low untuk penyiasat agensi itu mengambil keterangannya di Dubai.

Ketua Pesuruhjayanya, Datuk Seri Mohd Shukri Abdull sebaliknya meminta Jho Low pulang ke tanah air.

Jho Low dan 4 individu lain dikehendaki SPRM dalam siasatan ke atas AS$4.5 bilion yang didakwa disalurkan dari 1MDB antara 2009 dan 2015.

Media pada bulan lalu turut melaporkan Interpol mengeluarkan notis merah ke atas Jho Low pada Oktober 2016 berdasarkan permohonan Singapura kerana disyaki melakukan kesalahan di negara itu dan gagal dikesan di sana.

Pada 28 Jun lalu, SPRM menyerbu sebuah unit pangsapuri di Jalan Kia Peng yang dikatakan milik Jho Low.