
Ketua Polis Negara, Khalid Ismail, berkata pihaknya belum dapat mengesahkan sama ada dakwaan itu benar atau sebaliknya.
“Kita akan mengambil tindakan sewajarnya untuk menyiasat perkara itu dengan lebih lanjut,” katanya menurut Berita Harian selepas sambutan Hari Autisme Pusat Autisme Pengaman-Polis di Kuala Lumpur.
Beliau mengulas laporan sebuah portal dalam talian mendakwa Jho Low memfailkan permohonan pengampunan daripada Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, pada Januari lalu dalam keadaan luar biasa.
Menurut laporan itu, Jho Low didakwa memainkan peranan penting dalam rundingan sulit antara China dan Malaysia bagi melupuskan hutang berkaitan 1MDB pada hujung tahun lalu.
Laporan itu memetik sumber mendakwa beberapa pertemuan membabitkan Jho Low diadakan di Kuala Lumpur di bawah perlindungan delegasi dari China.
Jho Low sebelum ini dikenal pasti antara individu utama dalam skandal 1MDB.
Rabu lalu, Wall Street Journal melaporkan sekiranya permohonan Jho Low diluluskan, ia akan menggugurkan pertuduhan jenayah dihadapinya di AS.