
“Ia (dasar itu) memudahkan penjenayah asing beroperasi di negara ini,” katanya pada sidang media di sini.
Beliau menjawab soalan mengenai mengapa sindiket penipuan antarabangsa kerap menggunakan Malaysia sebagai pusat transit atau pangkalan operasi. Namun, beliau tidak memperincikan faktor lain.
Bagaimanapun, beliau berkata polis bekerjasama rapat dengan Jabatan Imigresen dan agensi penguat kuasa lain untuk memantau kemasukan warga asing dan pelancong ke negara ini.
Terdahulu, Khalid mendedahkan bahawa seramai 187 warga asing dan tempatan yang disyaki terlibat dalam sindiket penipuan dalam talian antarabangsa ditahan dalam serbuan pada 6 dan 7 Mei.
Operasi itu menyasarkan aktiviti pusat panggilan, penipuan pelaburan saham, penipuan kewangan dan jenayah komersial rentas sempadan melibatkan mangsa tempatan serta warga asing.
Warga China paling ramai ditahan dengan 129 orang, diikuti 23 rakyat Malaysia.
Tahun lalu, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Tiong King Sing mempertahankan kemasukan tanpa visa selama 90 hari untuk warga China dengan menegaskan keperluan penguatkuasaan lebih tegas berbanding memansuhkan dasar yang membantu merancakkan ekonomi itu.
Tiong berkata segelintir individu mungkin menyalahgunakan sistem pengecualian visa untuk menjalankan aktiviti perniagaan tanpa kebenaran, namun kes seperti itu tidak sepatutnya digunakan untuk melemahkan dasar yang dirangka bagi merangsang pertumbuhan ekonomi Malaysia.
Khalid juga berkata polis telah membuka 24 kertas siasatan serta merampas tiga hartanah mewah bernilai RM38 juta dan 20 kenderaan mewah, termasuk Rolls-Royce, dengan jumlah nilai RM6.58 juta.
Polis turut merampas jam tangan berjenama, beg tangan, barang kemas, dompet dan jongkong emas bernilai RM12 juta, serta menyita 556 peranti digital bernilai RM552,000 termasuk telefon bimbit, komputer dan komputer riba.
Beliau berkata siasatan mendapati sindiket ini menyasarkan mangsa secara dalam talian dari negara termasuk Hong Kong, China, Korea dan Jepun.
Sementara itu, Khalid berkata polis menahan kira-kira 35 orang yang dikaitkan dengan kes Ah Long di Singapura.
Beliau mengulas laporan New Straits Times bahawa penghantar makanan dari Malaysia digunakan oleh Ah Long untuk mengugut peminjam yang gagal membayar hutang di republik itu, dan mereka dibiarkan menanggung akibat apabila penghantaran mereka melanggar undang-undang kaum dan agama Singapura.
Khalid berkata polis juga sedang menyiasat satu insiden di mana dadah, telefon bimbit dan senjata tajam ditemui di dalam lokap di Ipoh semasa pemeriksaan mengejut.
Beliau turut mengarahkan penggantungan pegawai dan anggota yang terlibat.
“Saya telah mengarahkan ketua polis daerah untuk memeriksa lokap dari semasa ke semasa,” tambahnya.