‘Malaysia Baru’ tak matang, amal politik dendam, kata anak Najib

Nazifuddin berkata jika setiap kes pecah amanah, salah guna kuasa dan rasuah boleh dikaitkan, maka semua bekas perdana menteri harus dipertanggungjawabkan. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Anak bekas perdana menteri, Datuk Nazifuddin Najib berkata “Malaysia Baru” tidak matang dari segi politik dan masih mengamalkan politik “feudal” yang penuh dendam.

Mengulas layanan terhadap bapanya, Datuk Seri Najib Razak, sejak siasatan hingga ke hari ini, Nazifuddin berkata “Malaysia Baru” nampaknya tidak jauh berbeza dengan “Malaysia Lama” hampir 30 tahun lalu.

“Pendakwaan secara berat sebelah yang berlaku hari ini serupa dengan yang dahulu, cuma orangnya sahaja yang berbeza, kebetulan perdana menteri yang masih sama,” katanya di Facebook.

Beliau membidas serbuan terancang, dengan anggota pihak berkuasa datang beramai-ramai dan trak polis menyerbu rumah keluarga ketika waktu sahur di bulan Ramadan lepas.

Beliau juga menghentam sidang-sidang akhbar yang dibuat “tidak putus-putus” untuk menimbulkan kemarahan orang ramai.

“Bukankah ia prosedur am untuk tidak berkongsi butiran semasa siasatan sedang dijalankan, atau adakah ia dibuat semata-mata untuk mengaibkan lagi ayah saya?” katanya.

“Semalam saya berada di mahkamah, hanya untuk mengetahui bahawa semua itu tidak penting pun; malah apa didakwa hari ini adalah tuduhan pecah amanah dan menyalahguna jawatan berjumlah RM42 juta.”

Semalam Najib didakwa dengan 3 pertuduhan pecah amanah jenayah (CBT) dan 1 pertuduhan salah guna kuasa.

Bagi pertuduhan CBT pertama, Najib selaku perdana menteri, menteri kewangan dan penasihat kepada SRC International, dituduh memindahkan RM27 juta dari syarikat itu kepada akau bank peribadi di AmIslamic Bank Bhd di Kuala Lumpur.

Bagi pertuduhan CBT kedua, Najib dituduh memindahkan RM5 juta dari SRC International ke akaun bank miliknya dalam tempoh yang sama.

Bagi pertuduhan CBT ketiga, Najib dituduh memindahkan RM10 juta dari SRC International ke akaunnya.

Bagi pertuduhan salah guna kuasa, Najib dituduh menggunakan kedudukannya untuk menyalurkan RM42 juta, sambil memberi jaminan kerajaan ke atas pinjaman SRC bernilai RM4 bilion dari Kumpulan Wang Persaraan (KWAP).

Sementara itu, Nazifuddin berkata jika setiap kes pecah amanah, salah guna kuasa dan rasuah boleh dikaitkan dengan seorang perdana menteri, maka Najib dan semua bekas perdana menteri harus bertanggungjawab terhadap semua kerugian yang dialami sepanjang kepimpinan mereka.

“Inilah yang mereka (Pakatan Harapan) janjikan, dalam apa jua cara sekalipun, mereka mesti tunaikan janji mereka secepat mungkin,” katanya.