PH bidas orang Umno beri amaran polis, SPRM jangan komen 1MDB

PH bidas orang Umno beri amaran polis, SPRM jangan komen 1MDB

Mereka membidas bekas ketua Pemuda Umno Wilayah Persekutuan, Razlan Rafii kerana memberi amaran kepada pihak berkuasa untuk tidak bercakap mengenai 1MDB.

Free Malaysia Today
Razlan Rafii berkata, ‘komen negatif’ mengenai 1MDB menyebabkan rakyat berprasangka terhadap Najib Razak. (Gambar Bernama)
GEORGE TOWN:
Pemimpin Pakatan Harapan (PH) menyerang seorang pemimpin Pemuda Umno yang memberi amaran kepada Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhenti bercakap mengenai 1MDB.

Bekas ketua Pemuda Umno Wilayah Persekutuan, Razlan Rafii dilaporkan berkata, komen sedemikian memberi persepsi negatif terhadap bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak yang didakwa melakukan pecah amanah dan penyalahgunaan kuasa berkaitan SRC International Sdn Bhd.

Najib mengaku tidak bersalah terhadap semua 4 pertuduhan itu.

Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil menyifatkan amaran Razlan itu tidak wajar.

“Razlan tiada hak memberi amaran kepada sesiapa pun mengenai perkara sedemikian. Sikapnya ialah sindrom penafian tipikal yang dihadapi kebanyakan pemimpin Umno dan menyumbang kepada penolakan parti itu pada pilihan raya 9 Mei lalu.

“Ketika rakyat mahu kejelasan dan akauntabiliti terhadap pelanggaran dan lebihan lampau, Razlan sebaliknya terpesong daripada isu sebenar untuk menyelesaikan skandal 1MDB,” katanya kepada FMT.

Razlan memetik perintah tegah siar diluluskan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Rabu lalu, susulan tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendakwa Najib.

“Kita tidak mahu beliau (Amar Singh) sibuk menceritakan hasil siasatan seperti senarai barang dengan nilai rampasan berjuta-juta atau sebagainya yang berkaitan dengan 1MDB dan digunakan media untuk menghukum Najib. Saya beri amaran kepada beliau.

“Semua ini perkara negatif dan tidak ada kebenarannya lagi, cuma hanya untuk membuatkan rakyat beranggapan negatif kepada Najib.”

Fahmi yang juga ahli Parlimen Lembah Pantai berkata, Razlan tiada jawatan dalam parti dan bukannya wakil rakyat.

“Razlan patut memfokuskan usahanya untuk mengubah partinya daripada membuat kenyataan ini.”

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PPBM, Tariq Ismail menggunakan analogi orang zaman batu untuk menggambarkan sikap Razlan dan Umno secara umum.

“Kita tidak boleh mengharapkan evolusi berlaku semalaman. Orang zaman batu menyalahi undang-undang berdasarkan tafsiran mereka sendiri selama 60 tahun.

“Rakyat lain sudah berubah, tetapi masih ada spesis terancam yang enggan berubah mengikut masa.”

Tariq berkata, terpulang kepada mahkamah untuk menentukannya dan hakim tidak akan terpengaruh dengan sentimen orang ramai.

“Sudah tentu Najib tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah seperti yang didakwa beliau dan pengikutnya. Tetapi buktikan di mahkamah dan kami akan mematuhi keputusan mahkamah.

“Ada satu perkara yang dipanggil undang-undang, di mana ramai orang bertamadun di seluruh dunia mematuhinya. Umno masih perlu belajar perkara ini.”

Peguam, Syahredzan Johan berkata, Razlan berhak bercakap apa yang beliau mahu, tetapi amaran itu jelas menunjukkan beliau tidak tahu apa kandungan perintah tegah siar itu.

“Walaupun kita tidak mempunyai syarat perintah tegah siar sementara itu yang perlu dipatuhi sepenuhnya, adalah jelas ia hanya meliputi merit pertuduhan itu. Ia tidak patut merangkumi 1MDB secara keseluruhan.

“Jadi, amarannya kepada pihak berkuasa menunjukkan beliau kurang memahami aspek perundangan perintah itu.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.