
N Sivananthan, yang merupakan rakyat Malaysia pertama diterima sebagai peguam Mahkamah Jenayah Antarabangsa, memberitahu FMT bahawa Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad membelakangkan obligasi undang-undang negara apabila berkata Zakir Naik boleh terus tinggal di Malaysia pada masa ini.
Dalam sidang media semalam Dr Mahathir berkata Zakir adalah pemastautin tetap di Malaysia dan beliau tidak akan dihantar pulang “selagi tidak menimbulkan masalah”.
Sivananthan berkata pandangan Dr Mahathir sukar diterima sekiranya Malaysia mahu mendapatkan ekstradisi peniaga yang menjadi buruan kerajaan, Low Taek Jho, dengan tujuan mendakwanya berhubung jenayah melibatkan 1MDB.
Menurut polis, Low mungkin berada di Macau. Sivananthan berkata beliau mungkin mendapat taraf pemastautin tetap di Macau dan menggunakan pendapat Dr Mahathir itu untuk menolak ekstradisi ke atas dirinya.
“Dalam undang-undang, kita tidak boleh berkata ‘ya’ dan ‘tidak’ serentak pada satu masa yang sama,” kata Sivananthan. “Kes Zakir adalah ujian ke atas integriti kerajaan dan sistem perundangan kita.”
Katanya polis perlu menahan Zakir dan beliau boleh mencabar perintah ekstradisi ke atasnya di mahkamah tempatan.
“Jika menang, dia boleh terus berada di sini, tetapi jika cabaran guamannya kalah, dia mesti dihantar pulang,” tambah beliau.
Jurucakap kementerian luar India, Raveesh Kumar dilaporkan berkata, permohonan ekstradisi terhadap Zakir Naik “sedang dipertimbangkan” oleh Malaysia.
Menurut laporan Republic TV, Kumar berkata pesuruhjaya tinggi India di Malaysia kini berhubung dengan pihak berkuasa negara ini.
Media India melaporkan minggu ini, polis Malaysia akan menghantar pulang Zakir, tetapi Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamed Fuzi harun menafikan dakwaan itu.