Kit Siang serah ketua Ahli Parlimen DAP pada Anthony Loke

Kit Siang serah ketua Ahli Parlimen DAP pada Anthony Loke

Veteran DAP, Lim Kit Siang buat pertama kali akan menjadi ahli penyokong kerajaan sejak 1969.

Free Malaysia Today
Lim Kit Siang berkata keputusan dibuat oleh jawatankuasa eksekutif pusat DAP.
PETALING JAYA:
Setiausaha Organisasi DAP Kebangsaan, Anthony Loke aan menjadi ketua Ahli Parlimen DAP pada Parlimen ke-14.

Menteri pengangkutan, Ahli Parlimen Seremban dan Adun Chennah itu akan menggantikan ahli veteran DAP, Lim Kit Siang.

Perkara itu diputuskan oleh jawatankuasa eksekutif pusat DAP, kata Lim dalam kenyataan hari ini.

“Saya akan menjadi ahli penyokong kerajaan di Parlimen buat pertama kali sejak terpilih sebagai Ahli Parlimen Bandr Melaka pada 1969,” katanya.

Beliau tidak menghuraikan sebab perubahan itu.

“Dalam gabungan pemerintah, ketua ahli-ahli Parlimen setiap parti dipilih daripada kalangan pemimpin kanan parti.”

Semalam, spekulasi mengatakan pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad mempertimbangkan Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu untuk jawatan speaker Dewan Rakyat.

Lim seterusnya bercakap tentang rancangan DAP untuk memikat negeri-negeri yang diperintah PAS atau Barisan Nasional.

“Lawatan saya ke Kelantan, Terengganu dan Pahang sejak 2 hari lalu ialah untuk mengumumkan satu inisiatif politik yang penting.

“Kami mahu mengisytiharkan Kelantan, Terengganu, Pahang dan Perlis menjadi medan baru DAP untuk membawa perpaduan, keadilan, kebebasan dan demokrasi.”

Lim berharap dapat bekerjasama dengan parti-parti lain untuk membawa negeri-negeri itu bawah Pakatan Harapan pada pilihan raya umum akan datang.

Beliau berkata dalam lawatan ke Kampong Anggek di Gua Musang semalam, 1,150 Orang Asli menyerahkan borang keahlian untuk menubuhkan 8 cawangan Orang Asli DAP.

Satu cawangan orang Siam dan 14 cawangan DAP lain juga ditubuhkan di Terengganu dan Kelantan, katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.