Dari Johor ke Perlis, Khaled sedar pelantikannya akan dipersoalkan

Dari Johor ke Perlis, Khaled sedar pelantikannya akan dipersoalkan

Khaled Nordin menyerahkan kepada Zahid Hamidi untuk menjelaskan rasional pelantikannya sebagai pengerusi Umno Perlis.

Free Malaysia Today
Khaled Nordin serah pada Zahid Hamidi untuk memberi penjelasan
PETALING JAYA:
Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin sedar perlantikannya sebagai pengerusi Perlis mengundang pelbagai persoalan dalam kalangan pemimpin Umno negeri itu.

Bekas pengerusi Umno Johor dan menteri besar itu berkata dia menyerahkan kepada Presiden Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk menjelaskan rasional pelantikannya kepada pimpinan Umno Perlis.

“Harapan saya ialah pencerahan dari presiden ini akan segera dapat dilakukan agar tidak tertangguh lagi usaha pembaharuan Umno pasca pilihanraya umum ke-14,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Zahid mengumumkan senarai pengerusi Umno negeri baru termasuk Khaled yang menggantikan veteran Umno Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim.

Bekas menteri besar Perlis itu tidak bertanding pada pemilihan Umno 30 Jun lalu, dan menurut sumber beliau keluar masuk hospital selepas pilihan raya umum 9 Mei lepas.

Sumber berkata Shahidan dipercayai mengalami gangguan autoimun ganjil yang dikenali sindrom Guillain-Barré.

Shahidan sebelum ini menjadi tumpuan media apabila 9 Adun Barisan Nasional yang memihaknya memboikot pelantikan Datuk Seri Azlan Man sebagai menteri besar Perlis pada 24 Mei lepas, tindakan yang mengundang kemarahan Raja Perlis.

Dalam peristiwa itu, Shahidan meminta Raja Perlis untuk tidak mencampuri urusan pentadbiran negeri.

Sementara itu di Johor, kerusi pengerusi diduduki Adun Benut, Datuk Hasni Mohammad.

“Kepada semua ahli dan pendukung Umno Johor, berikanlah kerjasama dan komitmen yang lebih baik lagi kepada Hasni Mohamad,” kata Khaled.

“Saya yakin beliau mempunyai iltizam dan perancangan tersendiri bagi membawa Umno Johor menjadi lebih baik, diyakini dan dihormati.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.