
Speaker Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof mengumumkan pelantikan itu selepas Rashid dan Nga mendapat undian tertinggi daripada 3 calon.
“Rashid memperolehi 171 dan Nga memperoleh 124 undi. Manakala Ahli Parlimen Beluran Datuk Seri Ronald Kiandee memperoleh 93 undi,” katanya di dalam Dewan Rakyat.
Sebelum ini, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mencadangkan kedua-nama nama tersebut.
Manakala Barisan Nasional (BN) melalui Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mencadangkan Ronald.
Setiausaha Dewan Rakyat, Datuk Roosme Hamzah berkata 3 senarai calon itu dihantar kepadanya pada 2 Julai lalu.
Mohamad Ariff yang juga speaker Dewan Rakyat yang baharu berkata disebabkan ada 3 calon, maka proses pemilihan akan melalui undi oleh ahli parlimen.
Persidangan Penggal Pertama Parlimen ke-14 memulakan mesyuarat pertamanya hari ini, selepas pilihan raya umum ke-14 yang menyaksikan Pakatan Harapan membentuk kerajaan baharu.
Semua 221 ahli parlimen mengangkat sumpah kecuali Presiden PPBM Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga ahli parlimen Pagoh, yang bercuti sakit selepas menjalani pembedahan membuang ketumbuhan pada pankreas baru-baru ini.
Urusan mesyuarat kemudiannya akan disusuli dengan pemilihan 2 timbalan yang dipertua Dewan Rakyat daripada kalangan ahli parlimen bagi membantu yang dipertua Dewan Rakyat mengendalikan urusan mesyuarat dan memastikannya berjalan lancar.
Ini merupakan kali pertama dalam sejarah negara menyaksikan peralihan kerajaan daripada BN dan detik itu disiarkan secara langsung oleh semua stesen TV utama negara.
Persidangan Dewan Rakyat akan berlangsung selama 20 hari hingga 16 Ogos.