Maszlee ‘restu’ Indonesia bina universiti Muhammadiyah di Malaysia

Maszlee ‘restu’ Indonesia bina universiti Muhammadiyah di Malaysia

Pengurus pusat Muhammadiyah Indonesia berkata rancangan pembinaan universiti itu bermula tahun ini namun perlu memenuhi kebenaran yang disyaratkan .

Free Malaysia Today
Maszlee Malik mengadakan pertemuan dengan wakil Universiti Muhammadiyah di Putrajaya semalam.
PETALING JAYA:
Rancangan sebuah pertubuhan Islam di Indonesia, Muhammadiyah yang mahu membina sebuah unversiti di negara ini mendapat “restu” daripada Menteri Pendidikan Maszlee Malik.

Pengurus Pusat (PP) Muhammadiyah Indonesia, Prof Dr Suyatno dipetik portal Antara News sebagai berkata, Maszlee menyatakan sokongan berhubung hasrat pertubuhan itu membina Universiti Muhammadiyah Prof Dr Hamka (Uhamka) di Malaysia.

“Alhamdulillah, dalam pertemuan yang berlangsung di Putrajaya semalam (Selasa), menteri Malaysia sangat menyokong hasrat PP Muhammadiyah tersebut.

“Rancangan kami boleh dilaksanakan mulai tahun ini, namun perlu memenuhi kebenaran yang disyaratkan, yang kini dalam proses,” katanya memetik portal berkenaan.

Menurut laporan itu lagi, jika Uhamka itu berjaya dibina, ia menjadi kampus pertama pertubuhan itu di luar negara.

Setakat ini, universiti tersebut memiliki lebih 10,000 kakitangan pendidikan yang mengelola 173 kampus di seluruh republik itu yang terdiri daripada 45 universiti dan selebihnya adalah sekolah menengah, akademi dan politeknik.

Selain Maszlee, Suyatno turut bertemu dengan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi Datin Paduka Siti Hamisah Tapsir.

Sebelum ini Maszlee dilaporkan berkata Malaysia seharusnya membangunkan model Islam demokrat sendiri daripada cuba menggunakan model Islam negara lain terutamanya dari negara Timur Tengah.

“Seperti Indonesia, mereka ada Islam Nusantara yang diperkenalkan oleh Nadhlatul Ulama dan Muhammadiyah yang memperkenalkan Islam berkebajikan.

“Mereka cuba berdiri atas kaki mereka sendiri. Ini yang ahli politik Islam di Malaysia perlu fahami, mereka perlu berdiri atas kaki mereka sendiri,” katanya ketika bergelar pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Malaysia perlu ‘model Islam’ sendiri, kata ahli akademi

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.