
Menteri Pendidikan Tinggi Zambry Abdul Kadir berkata petang semalam beliau menerima kunjungan beberapa wakil Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK).
Katanya, dalam pertemuaan itu mereka membincangkan langkah-langkah yang boleh diambil kementerian dan kerajaan dalam membantu warga kampus, khususnya para pelajar, menghadapi kemungkinan kenaikan kos sara hidup termasuk harga makanan dan keperluan harian.
“Beberapa idea dan cadangan telah dikemukakan. Saya telah meminta pegawai untuk meneliti perkara ini secara serius dan memberikan perhatian sewajarnya.
“Insya-Allah, dalam masa terdekat, saya akan mengumumkan perancangan serta langkah awal yang disarankan oleh KPT bagi menangani isu ini,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Zambry berkata krisis Asia Barat yang semakin meruncing memberi kesan yang sangat mendalam, termasuk kepada sektor pendidikan tinggi negara.
Katanya, krisis berkenaan beri kesan mendalam bukan sahaja kepada ekonomi global, malah kepada tahap pengurusan kewangan dalam kalangan warga pendidikan tinggi sama ada staf, ahli akademik mahupun para pelajar.
“Apa yang penting, suara mahasiswa bukan sekadar didengar, tetapi akan diterjemahkan kepada tindakan,” katanya.