Penumpang pengangkutan awam meningkat di sebalik krisis tenaga, kata menteri

Penumpang pengangkutan awam meningkat di sebalik krisis tenaga, kata menteri

Menteri Ekonomi Akmal Nasir berkata ada tanda perubahan gaya hidup dengan jumlah penumpang rel dan bas meningkat mendadak pada April.

LRT
Purata bilangan penumpang rel meningkat kepada 1,085,580 sehari pada April 2026, naik 7.6% berbanding Mac, manakala purata harian penumpang bas melonjak 10.3% kepada 227,448.
PETALING JAYA:
Bilangan penumpang rel dan bas melonjak pada April ketika rakyat Malaysia mula menyesuaikan corak mobiliti harian mereka sebagai tindak balas kepada krisis tenaga global, kata Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Nasir.

Akmal berkata, purata bilangan penumpang rel meningkat sebanyak 7.6% kepada 1,085,580 sehari, manakala purata bilangan penumpang bas meningkat 10.3% kepada 227,448 sehari.

“Perubahan itu menunjukkan rakyat mula menyesuaikan corak mobiliti dan perbelanjaan harian kepada pilihan lebih kos efektif.

“Dalam keadaan kos global tidak menentu, perubahan kecil seperti ini penting untuk mengurangkan beban kos yang ditanggung oleh isi rumah,” katanya pada taklimat harian krisis bekalan global.

Berkait penggunaan elektrik, purata permintaan maksimum bagi minggu 4 hingga 10 Mei meningkat sedikit sebanyak 1.4% kepada 20,097MW, berbanding 19,815MW pada minggu sebelumnya.

Kenaikan kecil itu menunjukkan penggunaan elektrik kekal terkawal, walaupun semasa cuaca tidak menentu, kata Akmal.

Mengulas harga makanan, Akmal berkata pergerakannya kekal dalam julat terkawal bagi tempoh 4 Mei hingga 6 Mei walaupun beberapa item mencatatkan kenaikan.

Ikan kembung meningkat 3.9% kepada RM17.42 sekilogram, udang kertas naik 1.2% kepada RM32.11 sekilogram, sawi hijau meningkat 4% kepada RM7.23 sekilogram, dan santan segar meningkat 6.7% kepada RM16.88 sekilogram.

Namun, harga daging lembu turun 1.4% kepada RM35.88 sekilogram, manakala harga ayam standard hampir tidak berubah pada sekitar RM9.50 hingga RM9.51 sekilogram.

Di sebalik perkembangan ini, Akmal berkata Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) telah menyuarakan kebimbangan kumpulan tertentu, terutamanya di kawasan luar bandar mula merasai kesan tekanan kos berkenaan.

“MTEN bersetuju supaya ketua setiausaha negara dapat menyusul perkara ini bersama semua ketua setiausaha kementerian bagi menyelaras inisiatif, usaha, dan bantuan kerajaan sampai kepada kumpulan sasaran terutamanya golongan miskin dan rentan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.