3 syarikat tempatan dipilih terima akses teknologi cip global

3 syarikat tempatan dipilih terima akses teknologi cip global

Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata tiga syarikat itu ialah Great Asic Technology Sdn Bhd, SkyeChip Bhd dan Oppstar Technology Sdn Bhd.

semiconductor
Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata Malaysia sedang bergerak ke fasa baharu industri semikonduktor negara.
PUTRAJAYA:
Tiga syarikat tempatan dipilih menerima tawaran bawah kerjasama strategik antara kerajaan dan Arm Limited bagi memperkukuh keupayaan dalam reka bentuk litar bersepadu serta mempercepatkan peralihan Malaysia ke arah industri semikonduktor bernilai tinggi.

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir, berkata tiga syarikat itu ialah Great Asic Technology Sdn Bhd, SkyeChip Bhd dan Oppstar Technology Sdn Bhd.

Katanya, syarikat terbabit akan mendapat akses kepada platform pengkomputeran dan portfolio harta intelek (IP) Arm dalam pembangunan cip generasi baharu.

“Sebanyak empat token, termasuk Arm CSS (compute subsystems) dan Arm Flexible Access (AFA), diluluskan bagi mempercepat pembangunan produk semikonduktor tempatan yang direka bentuk di Malaysia,” katanya dalam majlis penyerahan surat tawaran hari ini.

Beliau berkata, penyerahan tawaran itu memberi isyarat Malaysia sedang bergerak ke fasa baharu industri semikonduktor negara.

Katanya, Malaysia sudah lama dikenali dalam aktiviti pemasangan, pengujian dan pembungkusan cip, namun negara perlu melangkah lebih jauh dalam rantaian nilai industri itu.

“Kekuatan ini penting, tetapi masa depan industri tidak boleh berhenti di situ.

“Kita mesti bergerak lebih jauh daripada ‘back-end’ kepada ‘front-end’, daripada sekadar menghasilkan kepada mereka bentuk, membangunkan IP dan mencipta teknologi sendiri,” katanya.

Akmal berkata, kerjasama Malaysia-Arm merangkumi tiga teras utama iaitu melatih 10,000 bakat reka bentuk litar bersepadu (IC design), memberi akses kepada teknologi pengkomputeran dan portfolio Arm kepada syarikat Malaysia terpilih, serta membangunkan produk semikonduktor tempatan yang direka bentuk di Malaysia.

Katanya, inisiatif itu selari hala tuju Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) dan Strategi Semikonduktor Nasional (NSS), yang memberi penekanan kepada pembangunan industri bernilai tambah tinggi.

“Ia termasuk reka bentuk cip, pembungkusan termaju, peralatan semikonduktor dan fabrikasi wafer,” katanya.

Menurutnya, Kementerian Ekonomi menegaskan kejayaan inisiatif itu akan diukur berdasarkan pelaksanaan dan hasil nyata.

“Ini termasuk penghasilan produk yang boleh dikomersialkan, lebih banyak IP didaftarkan di Malaysia, peluang pekerjaan berkemahiran tinggi dan penglibatan lebih ramai bakat tempatan dalam kerja reka bentuk cip bernilai tinggi,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.