Jangan peralat mahasiswa untuk agenda peribadi, kata Pemuda PKR

Jangan peralat mahasiswa untuk agenda peribadi, kata Pemuda PKR

Pemuda PKR berkata tindakan segelintir individu menggunakan nama organisasi mahasiswa untuk membawa agenda tertentu tidak mewakili suara majoriti.

Danish Hairudin
Ketua Penerangan Pemuda PKR Danish Hairudin berkata fokus utama gerakan anak muda dan mahasiswa perlu kekal kepada usaha membina negara secara matang dan bertanggungjawab. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Jangan memperalatkan platform mahasiswa untuk kepentingan politik peribadi, kata Pemuda PKR.

Gesaan itu menyusul kontroversi kenyataan media Mahasiswa Keadilan Malaysia (MKM) yang didakwa hilang kepercayaan terhadap PKR bawah teraju Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Ketua Penerangan Pemuda PKR, Danish Hairudin, berkata kenyataan dikeluarkan atas nama MKM itu bersifat politik dan didakwa cuba mencetuskan kekeliruan terhadap kepimpinan parti serta perdana menteri.

Katanya, semakan mendapati kenyataan itu tidak pernah dibincang atau diputuskan secara kolektif dalam kalangan pimpinan serta jaringan MKM di seluruh negara.

“Kenyataan tersebut bukan sahaja tidak melalui proses organisasi yang teratur malah perkara ini juga telah dijawab secara tegas oleh setiausaha agung MKM serta pimpinan dan pengerusi-pengerusi MKM kampus universiti seluruh negara yang menafikan kenyataan tersebut sebagai pendirian rasmi organisasi,” katanya dalam kenyataan.

Danish turut menegaskan, tindakan segelintir individu menggunakan nama organisasi mahasiswa untuk membawa agenda tertentu tidak mewakili suara majoriti mahasiswa PKR.

Beliau menjelaskan, MKM bukan sayap rasmi parti dan tidak ditadbir secara langsung oleh PKR, namun diberikan autonomi sejak penubuhannya.

“Kebebasan itu tidak boleh dijadikan untuk melakukan sabotaj dalaman, mencipta persepsi murahan dan memperalatkan nama organisasi bagi memenuhi percaturan politik individu tertentu,” katanya.

Katanya, fokus utama gerakan anak muda dan mahasiswa perlu kekal kepada usaha membina negara secara matang dan bertanggungjawab, bukan terjebak politik sempit yang berasaskan kepentingan peribadi.

Terdahulu, media memetik kenyataan tersebut melaporkan majoriti ahli MKM mengumumkan hilang kepercayaan, dan akan mengumumkan hala tuju baharu selepas mendakwa PKR semakin tersasar daripada semangat reformasi asal.

Susulan itu, Setiausaha Agung MKM, Aqeef Salih Salihamzul Rizal, berkata kenyataan itu bukan pendirian rasmi kerana ia tidak pernah dibincangkan, dipersetujui atau diputuskan melalui saluran rasmi kesatuan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.