Najib lebih layak jadi ketua pembangkang, gurau Azmin

Najib Razak berkata, projek HSR diluluskan kerajaan BN melalui tender terbuka dan proses telus, tanpa sebarang penyelewengan. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak (BN-Pekan) lebih layak menjadi ketua pembangkang, jawatan yang disandang Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi (BN-Bagan Datuk), kata Datuk Seri Azmin Ali (PH-Gombak).

Menteri hal ehwal ekonomi itu berkata demikian secara berseloroh selepas Zahid membenarkan bekas perdana menteri itu bertanya soalan tambahan berhubung projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR).

“Terima kasih Pekan tanya bagi pihak Bagan Datuk). Saya kira Pekan lebih layak jadi ketua pembangkang,” katanya dalam sesi jawapan lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Zahid yang juga presiden Umno dipilih sebulat suara sebagai ketua pembangkang Dewan Rakyat selepas Barisan Nasional (BN) kalah mengejut dalam pilihan raya umum 9 Mei lalu.

Najib berkata, projek HSR diluluskan kerajaan BN melalui tender terbuka dan proses telus, tanpa sebarang penyelewengan.

Terdahulu, Azmin berkata, kos tersembunyi ialah punca sebenar projek HSR mencecah RM110 bilion berbanding kos asal RM55 bilion.

“Seperti biasa, kos yang disebut Ayer Hitam (Wee Ka Siong-BN) adalah kos projek yang dikatakan pada RM55 bilion. Tapi dalam banyak perkara, banyak kos tersembunyi yang tidak didedahkan oleh kerajaan terdahulu.

“Pakatan Harapan bertanggungjawab mendedahkan keseluruhan kos projek ini, sebab itu sekiranya perkara ini tidak dapat dilaksanakan kerana suasana ekonomi, maka kerajaan ambil pendirian untuk bincang supaya semua terma dipatuhi,” katanya.