SST: Pemuda Umno kata Guan Eng masih mirip pembangkang

SST: Pemuda Umno kata Guan Eng masih mirip pembangkang

Shahril Hamdan berkata seorang menteri kewangan sepatutnya memberi jaminan kepada orang ramai tentang impak SST daripada mengeluarkan kenyataan berbaur politik.

Free Malaysia Today
Shahril membidas menteri kewangan kerana meminta pembangkang menjelaskan bagaimana SST akan membebankan rakyat berbanding GST.
PETALING JAYA:
Pemuda Umno menghentam Menteri Kewangan Lim Guan Eng kerana mengeluarkan kenyataan berbaur politik tentang cukai jualan dan perkhidmatan (SST).

Naib Ketua Umno, Shahril Hamdan dalam kenyataan berkata dia rasa lucu apabila Lim meminta bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak dan Umno menjelaskan bagaimana SST akan membebankan rakyat berbanding GST sedangkan kutipan cukai baru itu nanti RM23 bilion lebih rendah.

“Lim pula yang meminta pembangkang untuk memberi penjelasan kepada rakyat. Mungkin Lim masih baru dan belum menyedari kedudukannya sebagai menteri dan terbiasa dengan sifatnya sebagai pembangkang.

“Sebagai kerajaan memerintah, Lim sepatutnya meyakinkan rakyat pengenalan semula SST tidak akan membebankan rakyat malah akan dapat mengurangkan kos sara hidup rakyat. Namun, Lim memilih untuk membuat siaran media berbaur politk.”

Shahril berkata Lim dalam kenyataan semalam langsung tidak menyatakan bagaimana SST ini merupakan rejim cukai yang bersifat embedded (tersirat).

“Cukai ini akan dibawa sehingga ke peringkat akhir iaitu pengguna, namun jumlah cukai ini tidak dinyatakan di dalam resit pembelian serta tersembunyi dari pengetahuan pengguna.”

Shahril mengulangi kenyataan sebelum ini di mana dia menerangkan harga sesuatu barangan dinaikkan terlebih dulu sebelum kadar GST dijadikan 0% dan penurunan selepas itu hanya mengembalikannya ke harga asal.

“Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Saifuddin Nasution mengakui kadar 0% GST hanya memberi kesan yang sangat kecil kepada harga barangan.

“Malah beliau juga turut menyatakan terdapat peniaga yang menaikkan harga jualan selepas GST dikadar sifarkan. Sekali lagi, pertambahan cukai SST hanya akan menaikkan harga barang.”

Shahril berkata dulu Pakatan Harapan menyalahkan GST sebagai sebab kenaikan harga, tetapi selepas kadar cukai itu dijadikan sifar, ternyata sikap peniaga punca kenaikan harga barang.

Kerajaan mahu memperkenalkan SST pada kadar 5% dan 10% untuk barangan terpilih dan 6% untuk perkhidmatan pada 1 September, menggantikan 6% GST yang diperkenalkan pada 1 April 2015.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.