Berhenti tuduh kerajaan PH mesra LGBT, kata menteri

Mujahid Yusof Rawa berkata walaupun undang-undang melarang budaya LGBT, namun dari segi Perlembagaan Persekutuan, golangan itu tidak boleh ditindas atau dibuli.

KUALA LUMPUR: Kerajaan mengingatkan semua pihak berhenti menuduh kerajaan Pakatan Harapan (PH) pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad mesra golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa berkata berdasarkan undang-undang negara jelas menunjukkan aktiviti songsang itu dilarang diamalkan di Malaysia.

“Kerajaan sentiasa mengambil maklum tentang penularan budaya LBGT yang semakin membimbangkang hari ini.

“Apa saya ingin jelaskan berdasarkan undang-undang, ia bermaksud saya perlu ulang supaya semua dengar baik-baik dan balik nanti jangan putar cakap saya, ia bermaksud hak komuniti LGBT untuk mengamalkan gaya hidup mereka masih tertakluk dengan undang-undang yang tidak membenarkan di Malaysia. Jangan dekat mimbar khutbah kata kerajaan PH ini mesra LGBT,” katanya.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Datuk Ahmad Nazlan Idris (BN-Jerantut) supaya kerajaan menyatakan langkah bagi membanteras penularan budaya LGBT yang semakin membimbangkan.

Mujahid berkata, meskipun berdasarkan undang-undang budaya LGBT dilarang keras, namun mengikut Perlembagaan Persekutuan sebagai rakyat Malaysia, golangan itu tidak boleh ditindas atau dibuli.

“Saya juga berhujah di atas asas Perlembagaan Persekutuan, pada masa sama hak asasi manusia warganegaranya iaitu rakyat Malaysia, sentiasa dipelihara berdasarkan acuan adat dan budaya di Malaysia. Islam sebagai agama Persekutuan, dengan kata lain golongan ini tidak boleh ditindas ditempat kerja, tidak boleh dianiayai dan tak boleh dizalimi.

“Kita ada statistik menunjukkan 80% golongan makyah terlibat dalam industri seks. Kalau kita mendiskriminasi mereka ditempat kerja, maka mereka akan terus berada dalam industri ini, sedangkan kerajaan PH berhasrat mengeluarkan mereka dari industri ini,” katanya.

Beliau menambah, kerajaan juga menggunakan pendekatan mendidik bukan menghukum untuk memulihkan golongan LGBT.

“Ada ibu bapa bimbang dengan gajala ini. Dengan kesedaran ini kita adakan pelbagai bentuk seminar dan program, ini bertujuan untuk bimbing,” katanya.