Penganalisis cadang darurat politik terhad, rundingan selesai kemelut N Sembilan

Penganalisis cadang darurat politik terhad, rundingan selesai kemelut N Sembilan

Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri berkata PRN mengejut tidak semestinya menjamin kestabilan politik jika keputusannya sama seperti pemilihan lalu.

dun negeri sembilan
Sebelum ini, PH dan BN menguasai majoriti dua pertiga DUN Negeri Sembilan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Darurat politik terhad lebih wajar dipertimbang berbanding mengadakan PRN mengejut bagi menyelesaikan kemelut politik di Negeri Sembilan, kata penganalisis.

Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri dari Global Asia Consulting berkata pendekatan itu tidak semestinya menjamin kestabilan politik kerana keputusan pilihan raya berkemungkinan hanya mengekalkan status quo.

Zaharuddin Sani Ahmad Sabri
Zaharuddin Sani Ahmad Sabri.

Beliau merujuk keputusan PRN 2023 menyaksikan Pakatan Harapan (PH) menang 17 kerusi diikuti 14 Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) menang lima.

Menurut Zaharuddin, langkah itu juga tidak menyelesaikan punca sebenar ketidaktentuan dalam pentadbiran negeri.

“Jalan terbaik ialah darurat politik terhad oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat kerajaan pusat, diikuti sidang khas DUN untuk reformasi undang-undang tubuh negeri.

“Inilah solusi luar kotak yang bukan sahaja menyelamatkan Negeri Sembilan, tetapi juga menghalang kesan domino daripada menjatuhkan negeri lain,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada PRN mengejut mampu mengembalikan kestabilan politik dan pentadbiran Negeri Sembilan.

Zaharuddin berkata kenyataan Perdana Menteri Anwar Ibrahim bahawa tiada keperluan membubarkan DUN Negeri Sembilan ketika ini adalah langkah tepat bagi mengelakkan ketidakstabilan lebih besar.

Semalam, Anwar berkata pentadbiran negeri berjalan seperti biasa, selaras nasihat Yang di-Pertuan Besar Tuanku Muhriz Tuanku Munawir supaya kerajaan negeri diteruskan sementara proses lain diselesaikan mengikut lunas undang-undang.

Krisis Negeri Sembilan tercetus selepas Mubarak Dohak, bekas Undang Sungei Ujong, mengumumkan penyingkiran Tuanku Muhriz sebagai Yang di-Pertuan Besar dalam sidang media bersama tiga Undang lain pada 19 April.

Bagaimanapun, Menteri Besar Aminuddin Harun berkata kerajaan negeri tidak mengiktiraf penyingkiran itu kerana Mubarak telah disingkirkan secara sah sebagai Undang pada 13 Mei tahun lalu kerana melanggar hukum adat.

Semalam, semua 14 Adun Umno mengumumkan menarik balik sokongan terhadap Aminuddin sebagai menteri besar.

BN Negeri Sembilan kemudian mendakwa mempunyai majoriti mudah dalam DUN 36 kerusi untuk membentuk kerajaan negeri, dengan sokongan lima Adun Perikatan Nasional.

Mengulas lanjut, Zaharuddin berkata tumpuan ketika ini perlu diberikan kepada rundingan berterusan antara PH dan BN yang masih mempunyai majoriti dua pertiga di DUN.

“Negeri Sembilan dijadikan papan catur, rakyat pula menjadi mangsa. Lebih berbahaya, tindakan BN ini membuka ruang kepada kesan domino.

“Jika Negeri Sembilan boleh digoncang, negeri lain seperti Pahang dan Perak juga berisiko. Kedua-dua negeri itu bergantung kepada kerjasama rapuh BN-PH,” katanya.

Azmi Hassan.

Sementara itu, Azmi Hassan dari Akademi Nusantara berkata kestabilan politik jangka panjang lebih mudah dicapai jika BN mengambil pendirian tidak terlibat dalam amalan ‘tebuk atap’.

Beliau berkata PRN mengejut bukan penyelesaian terbaik kerana berisiko melahirkan kerajaan minoriti yang lemah atau gabungan baharu yang masih tidak stabil.

Katanya, jika Aminuddin terus mentadbir dalam bentuk kerajaan minoriti, pentadbiran negeri akan berdepan kesukaran menggubal dasar dan membuat keputusan penting.

“Langkah terbaik ialah BN menunjukkan prinsip bahawa mereka tidak bersetuju dengan kemelut dan pendirian Aminuddin, tetapi pada masa sama mengekalkan kestabilan.

“Itu juga mempamerkan pendirian mereka sebenarnya tidak berminat dengan politik tebuk atap,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.